KUALA LUMPUR, 17 Jun — Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memperkukuhkan infrastruktur keselamatan digital berlapis bagi melindungi hak siaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2026 dan menjaga pelaburan industri kreatif negara.
Langkah proaktif selepas cubaan akses VPN
Jabatan Penyiaran Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini, berkata langkah itu diambil susulan laporan mengenai cubaan mengakses siaran Piala Dunia FIFA 2026 di RTMKlik dari luar negara menggunakan aplikasi Rangkaian Peribadi Maya (VPN).
“Pemantauan berterusan dan peningkatan teknikal juga dilaksanakan bagi memastikan kestabilan platform dan pengalaman tontonan yang optimum,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, RTM selaku pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia komited memastikan penonton tempatan dapat menikmati perkhidmatan dengan lancar sambil mematuhi terma lesen dan hak penyiaran yang ditetapkan.
Penghargaan kepada orang ramai
RTM turut merakamkan penghargaan atas kewaspadaan dan kerjasama orang ramai dalam memberikan maklum balas bagi membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan penyiaran negara. — Bernama



