Dron, sensor tanah dan analitik data membantu pesawah mengesan risiko tanaman lebih awal, mengoptimumkan input serta meningkatkan produktiviti sawah. Penyakit tanaman, kekurangan nutrien, ketidakseimbangan air dan kemerosotan kesuburan tanah sering kali hanya disedari apabila simptomnya mula kelihatan di sawah. Ketika itu, pilihan intervensi menjadi lebih terhad dan risiko kehilangan hasil semakin meningkat. Dalam sektor padi, setiap peratus kehilangan hasil memberi kesan langsung kepada pendapatan pesawah dan keupayaan negara memastikan bekalan beras yang mencukupi. Justeru, keupayaan mengenal pasti masalah lebih awal sebelum ia menjadi serius kini menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan produktiviti sawah dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Teknologi Pemantauan Masa Nyata
Hari ini, kemajuan teknologi membolehkan pendekatan tersebut dilaksanakan dengan lebih berkesan. Melalui penggunaan pengimejan multispektral berasaskan dron dan satelit serta sensor tanah pintar, keadaan tanaman dan tanah dapat dipantau secara lebih tepat, menyeluruh dan masa nyata. Pendekatan inilah yang sedang diperluaskan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi pelbagai inisiatif pertanian pintar bagi membantu pesawah meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan input dan mengurangkan risiko kehilangan hasil.
Pengesanan Awal dan Tindakan Bersasar
Melalui teknologi pengimejan multispektral, pengesanan awal stres tanaman dan perubahan keadaan tanaman di lapangan berkaitan dengan kekurangan nutrien, masalah pengairan serta risiko penyakit dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Maklumat ini membolehkan tindakan pembetulan dilaksanakan lebih awal dan lebih bersasar, sekali gus membantu mengurangkan kerugian hasil serta meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman. Di samping itu, penggunaan sensor tanah pintar membolehkan data berkaitan status kesuburan tanah, tahap ketersediaan nutrien, kandungan bahan organik dan parameter tanah yang lain diperoleh secara masa nyata. Data yang dikumpulkan kemudiannya dianalisis bagi membantu menentukan keperluan sebenar tanaman mengikut lokasi dan keadaan tanah sawah yang berbeza.
Optimumkan Penggunaan Baja
Teknologi sensor tanah pintar membantu pesawah memantau kandungan nutrien tanah sekali gus mengelak penggunaan baja berlebihan. Pendekatan ini membolehkan penggunaan baja lebih tepat dan dioptimumkan mengikut keperluan sebenar tanaman, sekali gus mengurangkan pembaziran sumber dan meningkatkan kecekapan operasi ladang. Penggunaan teknologi sedemikian menjadi semakin penting ketika sektor padi negara berdepan cabaran yang semakin kompleks.
Cabaran Sektor Padi
Perubahan iklim ekstrem, ketidaktentuan cuaca, peningkatan kos input pertanian dan cabaran pengurusan sumber air menuntut pendekatan yang lebih tepat dan berasaskan data. Malah, cabaran tersebut turut mendapat perhatian kerajaan. Pada 18 Mei lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menyuarakan kebimbangan apabila hampir 90% pesawah di Kedah, termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), masih belum memulakan penanaman berikutan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air. Beliau turut mengingatkan bahawa kelewatan penanaman boleh menjejaskan kadar sara diri beras (SSR) negara memandangkan Kedah merupakan negeri pengeluar beras utama negara.
Walaupun perkembangan terkini menunjukkan lebih 50% pesawah di bawah Mada telah memulakan kerja penyediaan tanah bagi musim penanaman baharu, situasi tersebut memperlihatkan betapa pentingnya usaha meningkatkan kecekapan dan daya tahan pengeluaran padi negara bagi menghadapi cabaran yang semakin dinamik. Dalam konteks ini, teknologi bukan lagi sekadar alat sokongan, tetapi semakin menjadi keperluan strategik untuk membantu pesawah membuat keputusan yang lebih pantas, tepat dan berkesan.
Program SMART Sawah Berskala Besar
Melalui Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), Bernas terus memperluaskan penggunaan teknologi dan amalan agronomi moden bagi membantu meningkatkan produktiviti sawah serta memperkukuh keupayaan pengeluaran padi negara. Selain penggunaan dron dan sensor tanah, pendekatan berasaskan data turut membantu mengenal pasti corak prestasi tanaman, menilai keberkesanan penggunaan input serta menyokong perancangan yang lebih baik di peringkat ladang. Penggunaan teknologi dron sebagai alat sokongan mampu mengoptimumkan penggunaan baja dan air mengikut keperluan sebenar tanaman padi.
Ekosistem Pertanian Digital
Bernas juga menyokong pembangunan ekosistem pertanian digital yang lebih menyeluruh melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian digital yang mampu membantu pesawah mendapatkan panduan agronomi yang lebih tepat berdasarkan data sebenar di lapangan. Apa yang sedang berlaku hari ini bukan sekadar pengenalan teknologi baharu, tetapi perubahan kepada cara sektor padi diuruskan. Jika sebelum ini banyak keputusan bergantung kepada pemerhatian dan pengalaman semata-mata, kini keputusan boleh diperkukuh dengan data yang lebih tepat, pantas dan menyeluruh.
Perubahan ini amat penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dan tekanan terhadap sumber pengeluaran pertanian. Dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, meningkatkan keluasan penanaman sahaja tidak lagi mencukupi. Tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha mengurangkan kehilangan hasil dan meningkatkan produktiviti setiap hektar sawah yang diusahakan.
Komitmen Bernas
Bernas terus menyokong pesawah menerusi pendekatan pertanian pintar menggabungkan teknologi, pemantauan lapangan dan analisis data bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sawah dalam mengoptimumkan pengeluaran padi. Atas sebab itu, Bernas komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang menghubungkan teknologi, inovasi dan kepakaran agronomi bagi membantu pesawah menghasilkan lebih banyak padi secara mampan. Dengan memanfaatkan teknologi seperti dron, satelit, sensor tanah dan analitik data, Bernas percaya sektor padi negara mampu menjadi lebih cekap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan Malaysia untuk jangka panjang.
Nur Firdaus Mohamed Yusof adalah ketua Unit Agronomi Ladang Bernas. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



