Kemalangan DUKE: Dua mahasiswa maut terbakar dalam BMW, seorang terselamat
Kemalangan DUKE: Dua mahasiswa maut terbakar, seorang terselamat

KUALA LUMPUR: Dua orang maut terbakar manakala seorang lagi terselamat selepas sebuah kereta BMW melanggar pembahagi jalan dan terbakar di jalan susur keluar Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) awal pagi tadi.

Mangsa adalah mahasiswa tempatan dan luar negara

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati BMW 328i Sport itu dalam perjalanan dari Jalan Duta menghala ke Selayang dipercayai memandu laju sebelum hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan kiri dan terbakar.

Mangsa terdiri daripada pemandu lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun, seorang mahasiswa Queensland University of Technology, Australia, dan seorang penumpang hadapan lelaki berusia 21 tahun, mahasiswa Sunway University.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang terselamat dibawa ke hospital

Seorang lagi mangsa, lelaki warga Singapura berusia 20 tahun yang juga mahasiswa, terselamat dengan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Menurut Mohd Zamzuri, proses pengecaman dua mangsa yang hangus terbakar akan dilakukan melalui analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan merakam keterangan daripada mangsa yang terselamat.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga