MELAKA: Kerajaan memberikan jaminan bahawa tiada mana-mana fasiliti kesihatan ditutup di negara ini, termasuk Hospital Segamat, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.
Beliau menjelaskan bahawa apa yang berlaku di hospital berkenaan adalah disebabkan tekanan perkhidmatan akibat jumlah pesakit yang ramai. Justeru, pihaknya telah mengaktifkan pengurusan krisis kluster bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Kalau berlaku suasana seperti itu (jumlah pesakit ramai), pesakit dalam kita akan terus rawat, manakala pesakit luar yang datang untuk mendapatkan rawatan, kita akan rujuk mereka kepada fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.
“Tidak ada penutupan terhadap perkhidmatan, itu mustahak kerana penjagaan pesakit ialah satu yang tidak boleh dikompromi dan hospital tidak tutup termasuklah O&G sebagainya,” tambahnya selepas menyempurnakan penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kementerian Kesihatan.
Semalam, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, dilapor menafikan dakwaan bahawa Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai ini, seperti yang tular menerusi media sosial. Beliau dipetik sebagai berkata hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan seperti didakwa.
Penularan Malaria di Terengganu
Berhubung penularan malaria yang didakwa membabitkan warga asing di Terengganu, Dzulkefly berkata pihaknya melaksanakan beberapa strategi membabitkan pelbagai agensi bagi mengekang jangkitan.
Antara strategi tersebut termasuk mewujudkan mekanisme amaran awal antara agensi bagi mengenal pasti kemasukan kumpulan migran dari kawasan endemik malaria, selain saringan malaria dalam kalangan warga asing secara bersepadu, serta rawatan dan pengurusan pesakit malaria yang diterajui kesihatan awam.
Jabatan Kesihatan Terengganu semalam mengeluarkan amaran susulan peningkatan kes malaria dalam kalangan warga Rohingya di negeri itu.



