Lebih daripada sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kini dilindungi secara automatik terhadap kemalangan bukan berkaitan pekerjaan di bawah skim LINDUNG 24 JAM, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Sumber Manusia umum perlindungan diperluas
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata skim yang diperkenalkan melalui pindaan Akta tersebut memperluas rangka kerja perlindungan keselamatan sosial Malaysia dengan menyediakan perlindungan di luar insiden berkaitan tempat kerja, termasuk semasa cuti umum dan hari rehat.
"Pelaksanaan skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah automatik untuk semua pekerja sektor formal sedia ada dan tidak memerlukan sebarang pendaftaran baru oleh majikan atau pekerja.
"Bagi individu yang baru bekerja dan melaporkan diri selepas 1 Jun 2026, majikan dikehendaki mendaftarkan mereka melalui prosedur sedia ada Perkeso," katanya dalam satu kenyataan.
Kadar caruman dan tanggungan
Ramanan berkata caruman untuk skim LINDUNG 24 JAM akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, dengan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dan tertakluk kepada siling gaji caruman RM6,000.
Pada masa ini, kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan. Majikan bertanggungjawab untuk memotong caruman daripada gaji pekerja dan menyerahkannya kepada Perkeso.
Beliau berkata caruman mesti dibayar secara berterusan untuk memastikan perlindungan tidak terputus sambil memudahkan pematuhan oleh kedua-dua majikan dan pekerja.
Lapan faedah disediakan
"Melalui skim LINDUNG 24 Jam, Perkeso menyediakan lapan faedah untuk menjaga kebajikan dan mata pencarian pencarum, termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Tanggungan.
"Faedah lain termasuk Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Pemulihan Fizikal, Pemulihan Vokasional atau program Kembali Bekerja (RTW), serta Faedah Pendidikan untuk menyokong masa depan benefisiari," katanya.
Selaras dengan piawaian antarabangsa
Ramanan berkata perlindungan yang diperluas ini selaras dengan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan amalan terbaik antarabangsa yang bertujuan mengukuhkan liputan keselamatan sosial pekerja.
Beliau menambah bahawa inisiatif terbaru yang diterajui Perkeso menjadikan rangkaian keselamatan sosial Malaysia lebih komprehensif, dinamik dan relevan dengan realiti pasaran buruh semasa, sambil menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja negara.
"Permohonan faedah boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Faedah di lindungfaedah.perkeso.gov.my atau di pejabat Perkeso yang berhampiran," katanya. — Bernama



