GEORGE TOWN, 30 Mei — Walaupun pelbagai kempen kesedaran kesihatan dijalankan setiap tahun, penggunaan produk nikotin atau tembakau seperti vape, rokok elektronik dan rokok konvensional dalam kalangan kanak-kanak dan remaja terus membimbangkan.
Peranti yang dianggap sebagai alternatif kepada rokok semakin popular dalam kalangan golongan muda melalui pelbagai perisa menarik dan rekaan moden, menimbulkan kebimbangan sama ada negara menghadapi ancaman kehilangan generasi belia kepada ketagihan nikotin.
Pegawai pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow, berkata keadaan ini perlu dipandang serius kerana negara kini berdepan risiko melahirkan generasi yang terperangkap dalam ketagihan nikotin pada usia yang semakin muda akibat peningkatan bilangan kanak-kanak dan remaja yang menggunakan vape dan rokok elektronik.
Setelah lebih 40 tahun berada di barisan hadapan kempen anti-merokok negara dan menyampaikan lebih 300 ceramah di sekolah, kolej dan universiti di seluruh negara, beliau berkata trend menunjukkan penggunaan vape dalam kalangan pelajar semakin meningkat.
Sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 yang akan disambut esok, beliau berkata Malaysia perlu mengambil tindakan berani dengan mengharamkan semua produk nikotin, termasuk rokok, vape, rokok elektronik, produk tembakau yang dipanaskan dan uncang nikotin, bagi melindungi generasi muda daripada ketagihan yang semakin membimbangkan.
“Selaras dengan tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026, ‘Membongkar Tarikan — Menangani Ketagihan Nikotin dan Tembakau’, Malaysia mesti melindungi belianya daripada produk nikotin kerana kita memerlukan masa depan yang benar-benar bebas daripada generasi yang ketagih nikotin,” katanya dalam temu bual eksklusif sempena sambutan tersebut.
Subbarow berkata CAP juga telah menggesa kerajaan supaya tidak melengahkan tindakan, memandangkan lapan negara anggota ASEAN – Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam – masih mengekalkan larangan terhadap penjualan dan import peranti merokok elektronik.
Berkongsi pengalamannya berinteraksi dengan lebih 30,000 perokok dan pengguna vape, beliau berkata ramai pelajar yang ditemuinya menganggap vaping selamat kerana ia dipromosikan melalui perisa buah-buahan dan pembungkusan yang menarik.
“Mereka percaya mereka mengambil perisa buah-buahan, tetapi mereka tidak mengetahui kandungan sebenar dalam perisa atau cecair tersebut. Saya juga telah mengumpul 100 jenis peranti vape dan rokok elektronik serta perisa yang diserahkan oleh pentadbir sekolah,” katanya.
Ikon Anti-Merokok 2025 itu berkata maklumat daripada Polis Diraja Malaysia mendedahkan bahawa banyak vape yang dirampas telah dicampur dengan dadah, yang boleh menyebabkan ketagihan serius dan overdosis maut.
Mengulas mengenai tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun ini, Subbarow berkata ia tepat pada masanya kerana ia memberi tumpuan kepada strategi industri yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pengguna muda.
Beliau berkata tema itu bertujuan mendedahkan bagaimana syarikat tembakau menggunakan nikotin sintetik, garam nikotin dan analog untuk meningkatkan ketagihan sambil memasarkannya sebagai produk inovatif.
Beliau berkata kempen tahun ini terutamanya memberi tumpuan kepada melindungi belia berusia antara 13 dan 15 tahun daripada pengaruh pemasaran industri nikotin sambil mengurangkan daya tarikan produk tersebut.
“Data global menunjukkan bahawa kira-kira 40 juta kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun menggunakan produk tembakau, manakala 15 juta menggunakan rokok elektronik, dengan beberapa wilayah menunjukkan kanak-kanak sembilan kali lebih cenderung untuk menggunakan vape berbanding dewasa,” katanya.
Subbarow juga berkata kerajaan dan organisasi kesihatan di seluruh dunia digesa untuk mengharamkan perisa, mengetatkan sekatan terhadap pengiklanan media sosial dan mengawal selia reka bentuk produk.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut setiap tahun pada 31 Mei di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kesihatan yang disebabkan oleh penggunaan tembakau dan mempromosikan persekitaran bebas asap rokok.
Di Malaysia, kempen anti-merokok CAP bermula 50 tahun lalu di bawah pimpinan presiden CAP terdahulu, Allahyarham S.M. Mohamed Idris, dengan kerjasama pakar anti-merokok dunia Dr Mary Assunta. — Bernama



