PETALING JAYA: Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menetak seorang penunggang motosikal menggunakan pisau pemotong daging di Lebuhraya Persekutuan pada Selasa lepas.
Azmi Jantan, 42, membuat pengakuan bersalah itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari, lapor Bernama. Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Fairus Jaafar, 45, menggunakan sebilah pisau pemotong daging, iaitu senjata boleh menyebabkan kematian, di KM14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, pada 8.19 pagi, 11 Jun lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana perlu menanggung isteri dengan hanya bekerja sebagai jurujual.
Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. Mahkamah turut menetapkan 8 Julai untuk mengemukakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang lelaki cedera di beberapa bahagian badan, termasuk kepala dan lengan, selepas ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang lelaki lain di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur berhampiran Seksyen 13. Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di ibu negara dipercayai membunyikan hon terhadap suspek kerana menghalang laluan, lalu mencetuskan pertengkaran dan membawa kepada insiden tetakan itu.



