PAS dan ujian penyatuan ummah dalam politik PN
PAS dan ujian penyatuan ummah dalam politik PN

Sebelum Perikatan Nasional (PN), naratif 'penyatuan ummah' pernah diterjemahkan melalui Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno yang suatu ketika dilihat sebagai blok politik Melayu-Islam utama. Slogan 'penyatuan ummah' dalam politik PAS sudah lama menikmati status istimewa. Ia cukup fleksibel untuk digunakan dalam hampir semua musim, malah sering dijadikan justifikasi bagi pelbagai bentuk kerjasama selagi dianggap selari dengan pertimbangan strategi politik semasa. Masalahnya, apabila sesuatu slogan diulang terlalu kerap, ia mula kehilangan sebahagian makna asalnya. Lebih-lebih lagi apabila slogan itu berdepan realiti politik kuasa yang sentiasa berubah.

Dalam konteks PN hari ini, penyatuan ummah semakin kelihatan sebagai perisai retorik yang digunakan untuk mempertahankan keputusan politik, bukannya prinsip yang benar-benar menentukan arah tindakan. Sebelum PN, naratif itu pernah diterjemahkan melalui Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno, yang suatu ketika dilihat sebagai blok politik Melayu-Islam utama dan paling berpengaruh. Bagaimanapun, kerjasama itu tidak mampu bertahan apabila perbezaan strategi politik pasca PRU15 semakin menonjol dan melebarkan jurang antara kedua-dua pihak.

PN: harmoni yang semakin sukar dijelaskan

Secara rasmi, PN masih berdiri sebagai gabungan politik yang utuh. Tetapi, secara praktikal ia semakin menyerupai sebuah pakatan yang komponennya sedang menilai pilihan masing-masing sambil menunggu peluang terbaik untuk memperkukuh kedudukan sendiri. Hubungan PAS dan Bersatu kini kelihatan semakin sukar digambarkan sebagai benar-benar harmoni. Ia lebih kepada hubungan dua pihak yang saling memerlukan tetapi pada masa sama sentiasa mengukur kekuatan dan pengaruh masing-masing. Segalanya nampak tenang dan terkawal tetapi politik jarang ditentukan oleh apa yang muncul di permukaan. Perkembangan mutakhir hubungan kedua-dua parti itu juga sudah banyak diperkatakan dalam ruang awam justeru tidak perlu dihuraikan panjang di sini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Apabila slogan bertembung politik sebenar

Penyatuan ummah kedengaran cukup indah di pentas ceramah. Ia mudah difahami, mudah dijual, malah mudah diterima penyokong serta mudah diulang dalam setiap kempen. Namun, apabila perbincangan beralih ke meja rundingan, bahasa politik berubah sama sekali. Yang menjadi keutamaan bukan lagi soal ummah tetapi pembahagian kerusi, pengaruh kawasan, kepimpinan dan kedudukan dalam struktur kuasa. Dan di sinilah slogan besar itu mula mengecil menjadi sekadar latar belakang.

PAS dalam posisi berbeza

Tidak dapat dinafikan, PAS hari ini berada dalam kedudukan jauh lebih kukuh berbanding sebelumnya. Dengan 43 kerusi Parlimen serta jentera akar umbi tersusun, ia bukan lagi sekadar rakan dalam gabungan pembangkang. Sebaliknya, PAS semakin muncul sebagai pemain utama yang mampu menentukan tempo politik PN — sama ada mempercepatkan langkah gabungan, memperlahankannya atau mengubah arah keseluruhannya. Harus diingat, dalam politik gabungan dominasi sentiasa datang bersama 'harga yang perlu dibayar'. Semakin besar pengaruh sesebuah parti, semakin tinggi jangkaan terhadapnya. Pada masa sama, rakan gabungan juga mula menilai semula kedudukan masing-masing.

Bersatu pula tidak berada dalam kedudukan yang cukup stabil untuk berasa terlalu selesa. Krisis dalaman dan ketidaktentuan politik menjadikannya lebih berhati-hati dalam mengurus hubungan dalam PN. Ini mewujudkan satu keadaan di mana PAS dilihat semakin yakin dengan kekuatan sendiri manakala Bersatu semakin memerlukan kestabilan gabungan. Sejarah politik menunjukkan sesebuah pakatan tidak runtuh dalam masa sehari. Ia lazimnya melalui proses lebih perlahan — bermula dengan bibit-bibit ketegangan, berkembang menjadi keretakan, sebelum akhirnya semua pihak masih mendakwa hubungan kekal kukuh walaupun realiti menceritakan sebaliknya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Siapa sebenarnya pegang stereng PN?

Persoalan ini sebenarnya bukan baharu cuma kini ia semakin sukar dielakkan. Pada suatu ketika jawapannya mungkin lebih mudah dari sudut persepsi politik tetapi landskap semasa jauh lebih kompleks. PAS memiliki kekuatan angka dan jentera, manakala Bersatu masih membawa legasi pengalaman sebagai parti yang pernah menerajui kerajaan persekutuan. Dalam politik gabungan, kepimpinan tidak semestinya ditentukan oleh siapa paling kuat. Selalunya, ia ditentukan oleh siapa paling berupaya memastikan keseimbangan kuasa terus memihak kepadanya tanpa membuat pihak lain berasa terlalu dominan. Dan itulah jawapan yang selalunya tidak pernah dinyatakan secara rasmi atau terbuka.

Isyarat daripada Majlis Syura

Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu mungkin tidak menghasilkan keputusan yang menggegarkan politik negara tetapi mesej tersirat di sebaliknya cukup penting. Langkah menyerahkan soal hubungan dan hala tuju kerjasama dengan Bersatu kepada Jawatankuasa PAS Pusat boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa parti itu masih menilai pilihan politik yang ada. Sesuatu yang perlu dinilai semula biasanya ialah sesuatu yang tidak lagi dianggap selesai – kelaziman dalam politik. PAS mungkin belum membuat keputusan akhir mengenai masa depan kerjasamanya dengan Bersatu. Tetapi, hakikat bahawa pilihan tersebut masih terbuka menunjukkan parti itu sedang mempertimbangkan kemungkinan lebih luas daripada sekadar mengekalkan keadaan sedia ada.

Dengan Johor dan Negeri Sembilan dijangka menjadi medan politik penting dalam tempoh terdekat, sebarang perubahan dalam hubungan PAS-Bersatu akan membawa implikasi yang melangkaui urusan dalaman parti. Umum juga tahu, malam Khamis lalu berlangsung perjumpaan pemimpin PAS bersama Umno yang disifatkan Presiden Hadi Awang sebagai 'pertemuan biasa'. Laporan turut menyebut Presiden Umno Zahid Hamidi berkata pertemuan yang tidak membabitkan ketua kedua-dua parti itu membincangkan soal kerjasama boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara. Mungkinkah cakap-cakap mengenai kebangkitan semula MN 2.0 akhirnya menjadi realiti? Persoalan itu semakin mendapat perhatian apabila Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini menyatakan kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah. Adakah itu antara topik dibincangkan? Wallahuaklam. Buat masa ini kedua-dua pihak masih memilih untuk memberikan jawapan berhati-hati dan berlapik.

Slogan yang semakin berat untuk dipikul

Selama bertahun-tahun, penyatuan ummah dijadikan asas untuk menjelaskan pelbagai keputusan politik — daripada kerjasama dengan Umno sehinggalah pembentukan PN. Namun, apabila satu demi satu formula kerjasama berubah mengikut keperluan semasa, timbul persoalan sama ada yang dicari itu benar-benar penyatuan ummah, atau sekadar penjajaran politik paling menguntungkan pada sesuatu ketika. Selagi politik terus dibentuk oleh gabungan lahir daripada keperluan kuasa dan bukan kesepakatan prinsip yang benar-benar kukuh, slogan penyatuan akan terus kedengaran indah di pentas. Tetapi, di belakang tabir ia akan sentiasa diuji oleh persoalan jauh lebih sukar: siapakah yang sebenarnya menyatu, untuk tujuan apa, dan sampai bila? Mungkin di situlah letaknya ujian sebenar terhadap slogan yang selama ini menjadi antara modal politik paling berharga PAS.

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.