PETALING JAYA: Bekas presiden MCA, Chua Soi Lek, menolak dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor mengkhianati rakan sekutunya di Persekutuan dengan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Dalam temu bual bersama FMT, Chua berkata serangan yang menuduh BN sebagai ‘pengkhianat’ atau seruan supaya gabungan itu ‘dikuburkan’ adalah tidak berasas.
“Saya berpendapat semua komen ini tidak wajar dan tidak berasas,” katanya. Beliau berkata kenyataan seperti itu mengabaikan kejayaan besar BN apabila bertanding secara solo dalam PRN Johor empat tahun lalu. “Pada Mac 2022, kita mengadakan pilihan raya. Pada ketika itu, BN bertanding solo. Dan kami memenangi 40 daripada 56 kerusi,” katanya.
Chua berkata kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan hanya terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022, beberapa bulan selepas BN membentuk kerajaan negeri Johor. Beliau menambah bahawa “pada bila-bila masa pun tidak pernah wujud kerajaan perpaduan di Johor”. BN Johor sebelum ini mengesahkan bahawa ia akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menolak kemungkinan sebarang pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Muda.
Kestabilan, bukan pengkhianatan
Chua berkata keputusan BN untuk bertanding solo dibuat berdasarkan maklum balas pengundi Johor dan akar umbi, bukannya sebagai tanda permusuhan terhadap rakan sekutunya di persekutuan. Beliau berkata Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, sedang memenuhi tuntutan rakyat di peringkat akar umbi yang mahu Johor mengekalkan kestabilan politik dan pembangunan di bawah sebuah kerajaan negeri yang diterajui satu parti.
“Akar umbi dan BN semuanya mahu bergerak secara solo bagi memastikan kestabilan, berbanding mempunyai kerajaan perpaduan yang akan menimbulkan banyak masalah,” katanya. Chua berkata nasib BN terletak di tangan pengundi Johor, bukannya ahli politik lawan, dan terpulang kepada rakyat sama ada untuk mengembalikan BN berkuasa atau ‘dikuburkan’.
Katanya, rakyat Johor menghargai kesinambungan pentadbiran, kestabilan dan pembangunan kerajaan yang teratur, terutama memandangkan kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan Singapura serta keperluannya untuk menarik pelabur dan pengguna. Chua turut berkata pengundi masih belum melupakan ketidakstabilan politik yang berlaku selepas BN kehilangan kuasa di Johor pada 2018. Beliau berkata dalam tempoh dua tahun, negeri itu menyaksikan pelantikan dua menteri besar, dan menyamakan keadaan itu seperti permainan ‘rebut kerusi’ berirama.
Menurutnya, kelebihan BN ketika ini ialah gabungan itu dilihat sebagai lebih stabil ketika beberapa parti lain sedang berdepan pertikaian dalaman. “Ia ibarat sebuah oasis kestabilan. Pengundi tidak menyukai parti yang bergolak.” Chua turut memuji Onn Hafiz dengan berkata maklum balas daripada pengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina dan India secara umumnya positif terhadap menteri besar itu, yang disifatkannya sebagai “salah satu aset atau faktor tarikan terbesar” BN.
Undi berpecah kerana banyak parti bertanding
Chua berkata beliau menjangkakan PRN Johor akan menyaksikan persaingan yang sengit dengan penyertaan banyak parti politik dan calon bebas. “Kita sebuah negara demokrasi. Selagi sesebuah parti politik didaftarkan dengan sah, mereka berhak menyertai pilihan raya,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata parti-parti baharu mungkin mempunyai agenda yang berbeza. “(Mungkin mereka) hanya mahu menguji pengaruh atau sambutan bagi melihat bagaimana reaksi rakyat terhadap parti baharu itu.”
Kenyataan beliau dibuat selepas Parti Bersama Malaysia, yang kini diterajui bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan akan bertanding dalam PRN Johor. Bersama berkata PRN itu akan menjadi platform untuk memperkenalkan parti kepada pengundi, membina jentera pilihan raya serta menilai kekuatan dan kelemahannya. Chua mengakui bahawa Bersama mendapat perhatian yang besar sejak kebelakangan ini, namun mengingatkan bahawa sambutan dalam majlis awam tidak semestinya diterjemahkan kepada undi. “Bersama mempunyai tarikan, tetapi parti itu masih terlalu baharu.”
Chua berkata beliau mengagumi “keberanian, ketahanan dan keazaman” Rafizi, namun menegaskan bahawa membina sokongan pengundi bukanlah sesuatu yang mudah. Katanya, walaupun orang ramai mungkin menghadiri program Bersama dan memberikan sokongan, mereka tetap akan membuat pertimbangan secara rasional ketika mengundi. “Tolong jangan terpedaya dengan jumlah kehadiran orang ramai,” katanya, sambil menambah MCA pernah belajar daripada pengalaman bahawa kehadiran khalayak yang ramai tidak semestinya membawa kepada kemenangan undi.
Apabila ditanya sama ada persaingan melibatkan banyak penjuru akan memberi kelebihan kepada BN, Chua berkata terdapat pandangan lama bahawa pertandingan pelbagai penjuru lazimnya memihak kepada parti yang dominan. “Jika anda mahu mengundi menentang BN, terdapat begitu banyak parti untuk dipilih, lalu undi pembangkang akan berpecah. Satu parti mungkin mampu menewaskan BN. Tetapi apabila undi berpecah, BN mungkin mendapat manfaat,” katanya. Namun, beliau berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada calon yang diketengahkan, sentimen tempatan dan bagaimana setiap pertandingan berlangsung.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Pengerusi BN, Zahid Hamidi, berkata Onn Hafiz akan kekal sebagai ‘poster boy’ gabungan itu dalam pilihan raya berkenaan, dengan BN menyasarkan prestasi yang lebih baik berbanding pencapaiannya pada 2022.



