MUAR: Keputusan PAS tidak membantu kempen Bersatu dijangka memberi sedikit kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata walaupun lawan berdepan pergolakan dalaman dan wujud parti serpihan seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama), fokus PH adalah memastikan penyokongnya keluar mengundi pada 11 Julai ini.
Fokus PH pada kekuatan sendiri
“Parti lain bukan kita tak endahkan, tapi kita akan fokus kepada kekuatan PH,” katanya selepas Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai Edisi Piala Dunia Fifa 2026 di Pasar Awam Parit Jawa bersama calon PH bagi DUN Sungai Balang, Soraya Badaruddin.
“Bagi PH, keutamaan dan fokus adalah untuk menggerakkan jentera, memenangi hati rakyat dan membuktikan PH boleh menerajui, mewakili rakyat dan pengundi di Johor,” kata menteri komunikasi itu sambil menyeru semua parti tidak menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) sepanjang kempen PRN Johor.
PAS dan Bersatu berpisah kempen
Kelmarin, Presiden PAS, Hadi Awang dilaporkan berkata, jentera pilihan raya parti itu tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor. Beliau berkata, ‘perceraian’ PAS dan Bersatu, termasuk jentera kempen bergerak berasingan, bukan strategi politik bagi memperkukuh PN menjelang pilihan raya.
PAS bertanding 11 kerusi, manakala Bersatu di 16 DUN atas tiket PN. Semalam, PAS mengarahkan jenteranya di DUN ditandingi Bersatu bertugas di kerusi ditandingi parti itu dan komponen PN lain pada PRN Johor.
PH sasar bentuk kerajaan negeri
Fahmi berkata, PH akan berusaha sedaya upaya untuk membentuk kerajaan negeri di Johor. “Kita PH akan usaha terbaik. Kita bermula 12 kerusi yang kita menang dalam PRN lalu, kita berharap semua bekerja keras untuk pastikan jumlah itu meningkat.
“Semalam, ketua setiausaha PH memaklumkan dalam masa beberapa hari manifesto PH akan dibentangkan. Saya percaya kita akan tunjukkan PH serius berusaha bentuk kerajaan negeri dan memenangi lebih banyak kerusi,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, mahu menambah kerusi pada PRN Johor.



