CYBERJAYA, 28 Jun — Peranan bapa yang kuat dan berkesan boleh menjadi lapisan perlindungan paling awal dalam mencegah anak-anak daripada terjerumus ke dalam gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan hakisan nilai.
Bapa sebagai benteng utama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha memperkasa keibubapaan, khususnya penglibatan bapa dalam pembesaran dan pendidikan anak, mesti terus diutamakan sebagai sebahagian usaha negara membina keluarga stabil, masyarakat harmoni dan masa depan lebih selamat untuk generasi akan datang.
“Dalam menghadapi cabaran sosial hari ini, bapa mesti hadir bukan sekadar pencari nafkah, tetapi juga sebagai pembimbing moral, pendengar setia, dan contoh teladan dalam membentuk sahsiah, disiplin dan ketahanan diri.
“Dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat, pengaruh media sosial, perubahan sosial yang pantas dan tuntutan hidup yang semakin kompleks, penglibatan aktif bapa dalam kehidupan anak menjadi semakin penting,” katanya.
Modul keibubapaan moden
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying pada sambutan Hari Bapa Kebangsaan 2026 yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.
Fadillah berkata Kerajaan Madani sentiasa meletakkan institusi keluarga sebagai tunjang kekuatan negara, dan selaras aspirasi itu, Dasar KASIH Keluarga Negara yang dilancarkan sebelum ini menjadi panduan penting dalam memperkukuh institusi keluarga di negara ini.
“Dalam merealisasikan aspirasi di bawah dasar tersebut, saya dimaklumkan LPPKN telah membangunkan Modul Keibubapaan baharu pada 2025, yang memberi penekanan kepada kemahiran keibubapaan moden.
“Modul ini merangkumi kepimpinan, kesejahteraan psikologi, komunikasi berkesan dan penggunaan rangkaian sokongan sosial bagi membantu bapa melaksanakan peranan mereka dengan lebih efektif, selaras aspirasi Agenda Keluarga KASIH Negara untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan berakhlak mulia,” katanya.
Rangkaian pemerkasaan lelaki
Lim dalam sidang akhbar kemudiannya berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkasa lelaki melalui Rangkaian Pemerkasaan Lelaki (MEN).
Beliau berkata rangkaian strategik yang menghimpunkan kepakaran daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan bertindak sebagai penggerak utama program keibubapaan holistik.
“Melalui inisiatif ini, pelbagai program latihan pengurusan konflik, kemahiran keibubapaan dan kesihatan mental akan dilaksanakan bagi membantu lelaki mengurus tekanan hidup, di samping menghapuskan stigma bahawa mendapatkan bantuan ketika berdepan cabaran emosi adalah satu kelemahan,” katanya.
Anugerah inspirasi bapa
Pada majlis sama, ‘Anugerah Khas Inspirasi Bapa’ disampaikan kepada tiga individu sebagai pengiktirafan terhadap ketabahan, pengorbanan dan komitmen luar biasa mereka dalam membesarkan dan mendidik anak.
Penerima anugerah ialah pengasas Projek Kafe Autisme Mohd Adli Yahya, aktivis komuniti Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, dan Mohd Yusof Mohd Noor atau ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’. — Bernama



