Situasi Covid-19 Malaysia Stabil, Tiada Kematian Tahun Ini - KKM
Situasi Covid-19 Malaysia Stabil, Tiada Kematian Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Situasi semasa Covid-19 di Malaysia kekal stabil dan menunjukkan trend penurunan yang ketara berbanding tahun lalu, dengan tiada kematian direkodkan setakat tahun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM), dalam satu kenyataan hari ini, berkata walaupun negara jiran baru-baru ini melaporkan peningkatan kes, jumlah kes Covid-19 di negara ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2026 telah menurun sebanyak 12.6 peratus (9,682 kes) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun terdapat peningkatan 0.7 peratus (575 kes berbanding ME18/2026), situasi masih terkawal.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ini kerana sebahagian besar kes yang dilaporkan hanya melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan hospital, dan tiada kematian berkaitan Covid-19 direkodkan setakat ini tahun ini,” kata kenyataan itu.

Kementerian berkata aktiviti penjujukan genomik yang berterusan juga telah mengesan beberapa subvarian baharu dalam komuniti, tetapi varian tersebut tidak menunjukkan kecenderungan untuk mencetuskan gelombang jangkitan yang serius.

“Kementerian akan terus memperkukuh saringan pengembara di Pintu Masuk Antarabangsa dan bekerjasama dengan Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Malaysia (AKPS) dalam aktiviti pemantauan dan persediaan kesihatan awam bagi memastikan pengesanan awal dan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya terdapat peningkatan risiko penularan Covid-19 dari luar negara,” katanya.

KKM berkata jangkitan Covid-19 kini diuruskan di bawah kategori jangkitan saluran pernafasan biasa seperti selesema dan influenza.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah penjagaan kesihatan diri, termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala atau di tempat sesak, dan mendapatkan perlindungan vaksinasi.

“Vaksinasi amat digalakkan, terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik, kumpulan imunokompromi, dan wanita hamil untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan.

“Perkhidmatan vaksinasi ini tersedia di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, Singapura dilaporkan memantau peningkatan kes Covid-19 selepas 12,700 kes direkodkan bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga