Seramai 27 individu, termasuk pelajar tahfiz dan penghuni pondok warga emas, berada dalam keadaan stabil selepas disyaki mengalami keracunan makanan di sebuah pusat pengajian agama di Kundang, Rawang pada Khamis lepas. Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata semua mangsa berusia antara 13 hingga 84 tahun mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati hidangan yang diperoleh daripada sumber luar.
“Kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran serta Hospital Sungai Buloh dan siasatan lanjut berhubung kes ini kini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini. Susulan kejadian itu, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah mula menjalankan siasatan serta mengambil keterangan dan sampel makanan untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Mohd Hafiz berkata, KKM turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Menurutnya, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, mana-mana peniaga atau individu yang terbabit dalam penyediaan dan pengendalian makanan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi aspek kebersihan, keselamatan serta garis panduan kesihatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. Individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran.



