RTS Link perlukan e-ART untuk lancarkan mobiliti Johor
RTS Link perlukan e-ART lancarkan mobiliti Johor

Pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada Januari 2027 dijangka menjadi titik perubahan kepada mobiliti rentas sempadan Johor-Singapura, namun kejayaannya bergantung keupayaan sistem pengangkutan bandar mengagihkan puluhan ribu penumpang ke destinasi seterusnya. Bagi melengkapkan peranan RTS Link, kerajaan persekutuan mengetengahkan sistem elevated autonomous rapid transit (e-ART) sebagai penyelesaian kepada cabaran ‘last mile connectivity’, sekali gus mengurangkan kesesakan di pusat bandar Johor.

Cabaran utama selepas ketibaan di Bukit Chagar

Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Sains Malaysia, Mohd Ismail Isa, berkata RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dalam tempoh hanya kira-kira lima minit perlu disokong rangkaian pengangkutan susulan yang cekap. “RTS hanya menghubungkan dua titik. Cabaran terbesar bermula apabila penumpang tiba di Bukit Chagar. Mereka masih perlu bergerak ke Skudai, Iskandar Puteri, Tebrau, Pasir Gudang dan kawasan lain. Di sinilah e-ART memainkan peranan sebagai penghubung kepada perjalanan seterusnya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tanpa e-ART kebergantungan rakyat Johor terhadap kenderaan persendirian dan perkhidmatan e-panggilan dijangka terus memberi tekanan kepada rangkaian jalan raya apabila RTS Link mula beroperasi, dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah. Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan pengguna apabila perjalanan rentas sempadan menjadi lebih pantas menerusi RTS Link, namun perjalanan dalam Johor masih perlahan akibat kesesakan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kos perjalanan harian bakal meningkat tanpa e-ART

“Bayangkan dalam dua atau tiga perjalanan sahaja, jumlah penumpang sudah mencecah puluhan ribu. Jika tiada e-ART, ramai akan beralih kepada e-panggilan pada waktu puncak. Akibatnya, kos perjalanan harian pengguna juga akan meningkat. Sebaliknya, e-ART mampu menawarkan tambang lebih tetap dengan kapasiti penumpang jauh lebih besar pada satu-satu masa,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengulangi komitmen kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek e-ART, termasuk menanggung sebahagian kos pembinaannya. Beliau berkata, kerajaan mahu projek itu disegerakan walaupun pembinaannya dijangka mengambil masa beberapa tahun, dengan langkah mitigasi turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru sementara menunggu ia siap.

Ekosistem mobiliti bandar yang lengkap

Ismail berkata, selain e-ART Johor juga memerlukan hab pertukaran bas bersepadu di Bukit Chagar, kemudahan ‘park and ride’, laluan pejalan kaki yang selamat dan berbumbung serta pilihan mikromobiliti seperti basikal elektrik dan e-skuter bagi melengkapkan keseluruhan ekosistem mobiliti bandar.

Reaksi positif daripada peniaga dan pengguna

Pandangan itu turut dikongsi peniaga, Yeow Boon Teck, 44, yang melihat RTS Link sebagai pembangunan positif tetapi berharap sistem pengangkutan susulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. “Kalau ada e-ART lagi baik. Dengan sistem yang baik, kesesakan boleh dikurangkan,” katanya memaklumkan keluarganya menjalankan perniagaan di situ sejak lebih 45 tahun.

Bagi Azimah Hamidon, 49, kemudahan RTS Link bersama usaha memperkukuh rangkaian pengangkutan di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor, langkah positif yang akan memudahkan urusan ribuan pekerja rentas sempadan. “Pentingnya laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan supaya perjalanan pekerja rentas sempadan lebih lancar dan tenang,” katanya yang setiap hari menghantar suaminya bekerja di Singapura.

Sementara itu, peniaga roti, Lim Toh Shian, 46, menjangkakan RTS Link merancakkan lagi ekonomi setempat apabila lebih ramai rakyat Johor dan Singapura berulang-alik dengan mudah. “RTS memang lebih bagus untuk rakyat Johor mahupun Singapura. Perniagaan juga saya lihat sudah berkembang dan yakin ia akan terus berkembang lagi,” katanya. Lim turut menantikan pelaksanaan e-ART yang diketengahkan kerajaan persekutuan kerana percaya sistem itu mampu melengkapkan RTS Link dan membantu menyuraikan aliran trafik di pusat bandar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga