Laluan Hidupan Liar RM66j di Johor siap 2028, kurangkan kemalangan jalan raya
Laluan Hidupan Liar RM66j di Johor siap 2028

JOHOR BAHRU, 2 Julai — Projek lintasan hidupan liar bernilai RM66 juta di Jalan Kahang-Mersing dijangka siap pada Februari 2028 dan dipercayai dapat mengurangkan perlanggaran dengan hidupan liar (roadkill), sekali gus melindungi harta benda dan menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya.

Butiran projek dan kemajuan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata lintasan sepanjang 1.2 kilometer dengan jejambat setinggi lapan meter dan panjang 200 meter itu membolehkan hidupan liar melintas jalan melalui ruang di bawah jejambat.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan, keselamatan awam dan pemeliharaan khazanah alam semula jadi serta hidupan liar negeri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ling berkata setakat 29 Jun, projek itu telah mencapai kemajuan sekitar 10.12 peratus dan beliau sendiri telah memantau rapi perkembangan projek tersebut.

Seruan kepada pengguna jalan raya

Beliau turut meminta pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan berhampiran habitat hidupan liar, terutamanya pada waktu malam dan di laluan yang diketahui sering dilalui haiwan liar.

Semalam, seekor gajah betina yang dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian jam 2.28 pagi di jalan Felda Nitar, Mersing.

Kejadian itu turut menyentuh hati rakyat Malaysia apabila seekor gajah dewasa, dipercayai ibu kepada gajah tersebut, setia menunggu selama kira-kira tujuh jam di sisi gajah itu sebelum bangkai gajah tersebut ditanam. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga