IPOH, 30 Mei — Pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, telah disahkan menuju ke Kem Sukaneka di Gunung Batu Putih, berhampiran Tapah, berdasarkan bukti penting daripada rakaman kamera pengawasan hidupan liar yang diperoleh hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon, berkata bukti terbaru itu diperoleh selepas cip kad memori daripada dua kamera pengawasan di puncak gunung berjaya diambil pada pukul 10.15 pagi tadi.
“Terdapat rakaman menunjukkan mangsa (Jaslinda) melintasi Kamera 1 pada pukul 11.22 pagi, 24 Mei 2026. Terdapat juga rakaman lapan anggota STORM JBPM dan seorang MGP (pemandu gunung hutan) melintasi Kamera 1 pada pukul 5.15 petang, 25 Mei 2026, manakala tiada rakaman mangsa berpatah balik dan melintasi Kamera 1.
“Bagi Kamera 2, tiada rakaman mangsa atau pasukan penyelamat melalui Kamera 2 menuju ke Gunung Batu Bujang pada 24 dan 25 Mei. Sehubungan itu, disahkan mangsa tidak melalui laluan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penemuan pada Kamera 1 menyokong hujah bahawa mangsa sememangnya bergerak di sepanjang laluan ke Kem Sukaneka, seperti yang dibuktikan oleh penemuan kesan tapak kasut dan sebotol air sejak awal pencarian.
Sayani berkata terdapat dua lagi persimpangan jalan selepas Kamera 1, iaitu laluan ke Kem Sukaneka dan laluan ke ‘pusat air’.
“Laluan ke pusat air telah disekat dengan papan kayu untuk menunjukkan bahawa ia bukan laluan yang ditetapkan. Rakaman Kamera 1 boleh menyokong hujah bahawa mangsa sememangnya mengikuti laluan ke Kem Sukaneka,” katanya.
Sementara itu, Sayani melaporkan bahawa pegawai Unit Drone JBPM Perak, Mohamad Safwan Abd Halim, mengalami kecederaan pada paha, lutut, dan buku lali selepas menjalankan pencarian yang bermula semalam, meliputi kawasan dari Kem Kantoi ke laluan air menuju ke Sungai Ayer Busok dan sepanjang sungai sejauh satu kilometer.
Beliau berkata Mohamad Safwan, bersama tiga lagi penyelamat yang menghentikan pencarian di Puncak 2085 selepas melakukan pencarian di sekitar Simpang Ite, telah dikeluarkan menggunakan teknik ‘winching’ oleh pesawat AW139.
“Seramai 42 anggota penyelamat lain, termasuk pasukan yang bergerak dari Pos Musoh, masih berada di lokasi dan menjalankan operasi pencarian,” katanya.
Selain itu, tinjauan Bernama di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM Gunung Batu Putih di Batalion Ketiga Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor hari ini mendapati pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam untuk meneliti dan membincangkan rakaman tersebut.
Sayani berkata setakat ini, tindakan yang diselaraskan dan dirancang telah dimulakan bersama-sama dengan pelbagai pihak dan agensi dalam SAR.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada pukul 2 pagi, 23 Mei, bersama 13 individu lain dan dua MGP, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, namun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei (7.30 pagi). — Bernama



