GEORGE TOWN, 30 Mei — Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan dua hari perkhidmatan feri percuma esok dan pada 1 Jun untuk rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Butiran Perkhidmatan Feri Percuma
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin, berkata tambang percuma meliputi perjalanan pergi balik antara Terminal Sultan Abdul Halim dan Terminal Raja Tun Uda di sini.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, terutamanya semasa musim perayaan, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih mampan dan cekap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Statistik Penggunaan Feri
Yeoh berkata seramai 7,127 penumpang pejalan kaki dan 2,221 pengguna kenderaan dua roda menggunakan perkhidmatan feri untuk perjalanan pergi balik semasa sambutan Hari Wesak tahun lalu.
Beliau berkata angka itu menyumbang kepada statistik keseluruhan perkhidmatan feri tahun lalu, yang mencatatkan 2,347,066 penumpang pejalan kaki dan 784,065 penumpang kenderaan dua roda.
Harapan dan Komitmen
Beliau berharap inisiatif feri percuma ini dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat sambil memberi peluang kepada orang ramai untuk meraikan dua perayaan itu dengan lebih bermakna.
Yeoh berkata SPPP dan PPSB tetap komited untuk mengambil pelbagai langkah bagi memastikan operasi feri berjalan lancar, dengan keselesaan, keselamatan dan kepuasan pelanggan terus diutamakan. — Bernama



