Polis Ipoh sedang mengesan sekumpulan individu yang tular di media sosial dan dipercayai terlibat dalam kecurian kabel di Jalan Raja Musa Aziz di sini.
Ketua Polis Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, video tersebut dimuat naik oleh aktivis sosial, Faiz, di bawah nama pengguna @faiz.sosialaktivis di TikTok.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan sedang dijalankan, termasuk usaha mengesan suspek, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan mengenal pasti kenderaan yang terlibat. Polis memandang serius kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan harta benda, perkhidmatan telekomunikasi, dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-245 1500 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Bernama



