SHAH ALAM, 28 Mei — Selangor FC memutuskan untuk mengekalkan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, bagi memimpin pasukan walaupun terpaksa beroperasi dengan unjuran kewangan yang dikurangkan susulan ketiadaan slot dalam pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Keputusan Berdasarkan Prestasi
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Johan Kamal Hamidon, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kemampuan Pan Gon dalam membina asas pasukan yang kukuh dalam tempoh lima bulan pertama beliau memimpin Gergasi Merah.
“Kami (pengurusan pasukan) amat berpuas hati dengan prestasinya. Dalam hanya lima bulan, beliau telah berusaha memahami budaya kelab, liga tempatan dan pemain.
“Beliau telah mewujudkan asas yang baik sepanjang tempoh perkhidmatannya untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi melalui pelbagai perancangan yang mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Red Giants FC Sdn Bhd dan WTM Media Sdn Bhd di sini hari ini.
Potongan Belanjawan 10 Peratus
Sementara itu, beliau berkata pengurusan Gergasi Merah mengesahkan unjuran kewangan kelab akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan belanjawan RM20 juta, dengan tumpuan penuh kepada pertandingan dalam negara.
“Pihak pengurusan memberi jaminan bahawa kualiti skuad sedia ada tidak akan terjejas secara drastik kerana tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada pertandingan domestik, termasuk menilai semula kuota pemain asing mengikut keperluan semasa walaupun terdapat kekangan.
“Pan Gon akan mempunyai kawalan penuh terhadap pemilihan pemain dan kami, pihak pengurusan, akan menguruskan urusan menandatangani kontrak berdasarkan proses perancangan yang berterusan menjelang akhir musim,” katanya.
Pemain Jordan ke Piala Dunia
Mengulas mengenai situasi membabitkan dua pemain asing Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abdulnadi, yang telah menyertai kem pasukan kebangsaan Jordan untuk Piala Dunia FIFA 2026, Johan mengakui bahawa mereka sedang menilai perkara itu untuk melindungi kepentingan kelab.
Beliau berkata sebarang potensi perpindahan atau peningkatan nilai komersial pemain akan dinilai dengan lebih jelas selepas penilaian penuh dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
“Malah, kami masih dalam perbincangan kerana sudah tentu apabila pemain pergi ke Piala Dunia, nilai pasaran mereka meningkat kerana lebih banyak pasukan dan jurulatih akan memerhati mereka. Jadi, kami akan menilai bagaimana keputusan kejohanan itu mempengaruhi situasi,” katanya. — Bernama



