SHAH ALAM: Polis telah memulakan siasatan berhubung pergaduhan antara dua pelajar lelaki di padang bola sebuah masjid di Shah Alam pada 12 Jun lalu.
Laporan dibuat bapa mangsa
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Sarudin Samah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan mengenai kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar yang berusia 13 dan 14 tahun itu saling mengenali dan bersekolah di sekolah yang sama.
“Pergaduhan itu hanya melibatkan dua pelajar, walaupun dipercayai beberapa pelajar lain menyaksikan kejadian tersebut.
“Mangsa yang berusia 13 tahun telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut,” kata Sarudin dalam satu kenyataan.
Siasatan di bawah Kanun Keseksaan
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.
Sarudin menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Amirul Zulkifli di 012-5583436, atau pergi ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.



