Mahkamah Tinggi tolak permohonan Semantan Estate tangguh pendengaran ganti rugi Duta Enclave
Mahkamah Tinggi tolak tangguh pendengaran ganti rugi Duta Enclave

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk menangguhkan prosiding bagi menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung nilai tanah yang dikenali sebagai Duta Enclave.

Hakim: Kes sepatutnya di peringkat akhir

Hakim Roslan Mat Nor, yang membuat keputusan itu, berkata kes tersebut sepatutnya sudah berada di peringkat akhir bagi penilaian ganti rugi seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira hujah yang dikemukakan oleh defendan (kerajaan) bahawa jika penangguhan prosiding dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada defendan kerana Mahkamah Rayuan telah memerintahkan supaya faedah dibayar pada kadar enam peratus dari tahun 1956 sehingga tarikh pampasan dibayar.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Oleh itu, setelah meneliti sebab-sebab ringkas, mahkamah berpendapat bahawa permohonan untuk menangguhkan prosiding ditolak tanpa kos,” kata hakim dan menetapkan pendengaran ganti rugi pada 14 dan 21 Ogos serta 1 September.

Latar belakang permohonan

Pada 18 Mei lalu, Semantan Estate memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding sehingga rayuan untuk mendapatkan beberapa dokumen termasuk pelan pengambilan tanah antara 1956 dan 1960 untuk digunakan dalam menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung pemilikan tanah Duta Enclave diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Roslan berkata, walaupun bidang kuasa mahkamah adalah untuk menentukan sama ada permohonan penangguhan dibenarkan atau tidak, ia tidak boleh mengatasi keadilan kepada pihak-pihak.

“Mahkamah ini berpendapat bahawa tidak wajar untuk mempertimbangkan siapa pihak dalam kes ini, apa yang penting bagi mahkamah adalah memutuskan berdasarkan prinsip undang-undang yang telah dinyatakan mengenai penangguhan prosiding,” katanya.

Proses perundangan sebelum ini

Prosiding itu dihadiri oleh pesuruhjaya undang-undang kanan persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan sebagai defendan manakala peguam Ira Biswas bertindak bagi pihak Semantan Estate.

Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hakmilik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan 263.272 ekar tanah di Duta Enclave atas nama syarikat itu.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat itu tidak dapat meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal mendapatkan kebenaran. Kes itu kemudiannya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penilaian ganti rugi.

Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak kepada hakmilik tanah itu tetapi syarikat itu berhak mendapat pampasan yang sesuai yang akan dinilai berdasarkan nilai tanah pada tahun 1956, ketika ia diambil oleh kerajaan.

Kepentingan tanah Duta Enclave

Tanah yang dipertikaikan itu terletak di kawasan utama Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pertikaian melibatkan Semantan Estate bermula pada tahun 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan, mendakwa tanah itu diambil secara haram.

Pada tahun 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah itu secara haram dan syarikat itu mempunyai kepentingan benefisial ke atasnya.

Kerajaan kemudian merayu keputusan itu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tetapi tidak berjaya.

Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hakmilik Tanah Wilayah Persekutuan untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.

Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 memerintahkan Pendaftar Hakmilik Tanah Wilayah Persekutuan memindahkan hakmilik tanah berkenaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman, tetapi keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga