KUALA LUMPUR, 1 Julai — Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan membangunkan sistem pemprofilan melibatkan pemandu, syarikat dan kenderaan komersial bagi memperkukuh usaha membendung pemanduan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
JSPT perhalusi sistem profil bersama agensi berkaitan
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata inisiatif itu sedang diperhalusi sebagai sebahagian daripada cadangan untuk memperketat penguatkuasaan, termasuk memastikan syarikat yang menggaji pemandu berkenaan turut dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.
“Kami sedang dalam proses membangunkan sistem pemprofilan untuk individu, syarikat dan kenderaan, dan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memperkukuh undang-undang supaya bukan sahaja pemandu dikenakan hukuman, tetapi syarikat yang menggaji mereka juga bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Trend pemandu kenderaan komersial positif dadah meningkat
Muhammed Hasbullah berkata langkah itu susulan trend peningkatan pemandu kenderaan komersial yang dikesan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, yang menimbulkan risiko besar kepada keselamatan jalan raya.
Beliau berkata di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan, tetapi jabatannya turut mencadangkan majikan atau syarikat dipertanggungjawabkan.
Muhammed Hasbullah juga menasihati syarikat pengangkutan dan pemilik kenderaan komersial untuk melakukan pemantauan berkala terhadap pemandu mereka, termasuk ujian saringan air kencing, bagi memastikan pekerja tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
121 pemandu lori positif dadah dalam operasi bersepadu
Sementara itu, beliau berkata seramai 121 pemandu lori antara 135 individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam 44 operasi bersepadu menyasarkan pemandu kenderaan komersial di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dari April hingga Jun.
Beliau berkata angka itu direkodkan daripada 713 ujian saringan air kencing yang dijalankan sepanjang tempoh operasi, dengan seramai 135 individu ditahan keseluruhannya.
“Hampir 90 peratus daripada mereka yang ditahan adalah pemandu kenderaan komersial, melibatkan 121 pemandu lori dan 14 lagi lain-lain,” katanya.
Methamphetamine dadah paling kerap dikesan
Muhammed Hasbullah berkata methamphetamine adalah dadah paling kerap dikesan dalam kalangan pemandu lori dalam operasi ini, dan berdasarkan trend semasa, sesetengah pemandu dipercayai menggunakan bahan terlarang sebagai jalan pintas untuk mengekalkan waktu memandu yang panjang.
Beliau berkata operasi yang dijalankan JSPT dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi tumpuan kepada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah dan kenderaan membawa bahan berbahaya. — Bernama



