KUALA LUMPUR, 1 Jun — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Persekutuan di Istana Negara hari ini.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat pada istiadat yang diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan rasmi baginda itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri dan isteri kemudiannya mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke istiadat di perkarangan Istana Negara, di mana baginda berdua menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada sembilan pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.
Pada masa sama, lagu kebangsaan Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD, sementara Panji-Panji Diraja Yang di-Pertuan Agong dinaikkan, diikuti tembakan meriam 21 das oleh Bateri Ke-41 Rejimen Artileri Diraja (Upacara).
Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum menerima tabik hormat diraja sekali lagi, menandakan berakhirnya istiadat di perkarangan istiadat.
Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya diiringi oleh Perdana Menteri dan isteri ke Balairung Seri untuk Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Persekutuan 2026, di mana darjah, pingat dan penghormatan dikurniakan kepada 144 penerima.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, serta duta-duta asing.
Istiadat penganugerahan ini diadakan buat kali ketiga di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sejak baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.
Secara keseluruhannya, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Penghormatan Persekutuan bagi tahun 2026 sempena sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tahun ini. — Bernama



