KUALA LUMPUR, 30 Mei — Anggota Kabinet hari ini menzahirkan ucapan selamat Kaamatan kepada komuniti Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah.
Dalam hantaran di media sosial, mereka menggambarkan Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi simbol perpaduan, warisan budaya dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia, khususnya di Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kaamatan adalah warisan budaya berharga rakyat Sabah yang telah lama menjadi sumber kekuatan komuniti. Beliau berkata tema tahun ini, ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, mencerminkan aspirasi untuk terus memelihara nilai saling menghormati, menghargai kepelbagaian budaya dan memperkukuh ikatan persaudaraan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Semoga sambutan Kaamatan tahun ini membawa kegembiraan dan semangat baharu untuk kita bersama-sama membina Sabah yang lebih maju, makmur dan harmoni. ‘Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan’,” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Datuk Seri Tiong King Sing berkata Kaamatan adalah simbol kesyukuran untuk musim menuai yang diwarisi turun-temurun dan kekal sebagai sebahagian identiti budaya Sabah. Beliau berkata sambutan meriah ini bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti pelbagai etnik di negeri itu, tetapi juga mempamerkan warisan budaya unik Malaysia kepada dunia, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini disambut dengan kegembiraan, kesyukuran dan keharmonian, seterusnya memperkukuh identiti Malaysia sebagai negara yang kaya dengan budaya, tradisi dan perpaduan,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar
Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Kaamatan bukan sahaja kesinambungan warisan budaya, tetapi juga platform penting untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian dan kesedaran alam sekitar. Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata semangat Kaamatan berkait rapat dengan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
“Seperti mana komuniti tradisional telah lama menghargai tanah dan alam untuk kelangsungan hidup, kita juga mesti kekal komited untuk memelihara warisan semula jadi kita supaya generasi akan datang dapat terus menikmati manfaatnya. Kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, dan keharmonian antara manusia menjadi lebih bermakna apabila kita juga hidup harmoni dengan persekitaran kita,” katanya.
Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluahkan harapan agar sambutan Kaamatan tahun ini dapat mengukuhkan lagi kasih sayang dalam kalangan rakyat, mengukuhkan keamanan, serta membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyatnya.
Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut berharap pesta menuai ini membawa kegembiraan, keberkatan dan hubungan yang lebih erat dalam kalangan rakyat. “Bagi yang pulang ke kampung halaman, sila memandu dengan selamat dan semoga selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Turut menzahirkan ucapan melalui media sosial ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. — Bernama



