PETALING JAYA: Pelantikan dua pengarah bersama pilihan raya baharu PKR adalah sebahagian daripada rombakan strategik untuk memperkukuh jentera parti menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Pemuda PKR Kamil Munim.
Kamil berkata perubahan portfolio dalam parti politik atau kerajaan adalah amalan biasa yang dilakukan untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah, lapor Bernama.
Beliau diminta mengulas pelantikan Naib Presiden PKR Amirudin Shari dan Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengarah bersama pilihan raya menggantikan Nurul Izzah Anwar, yang juga Timbalan Presiden PKR.
Kamil berkata rombakan tanggungjawab dalam parti tidak harus dilihat sebagai cerminan kelemahan mana-mana pemimpin, termasuk Nurul Izzah.
“Tidak timbul soal beliau tidak berkelayakan atau tidak berkemampuan, kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah pilihan raya, termasuk semasa pilihan raya umum ke-14, apabila parti berjaya membentuk kerajaan.
“Ini hanyalah rombakan strategik untuk memastikan kerja berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efisien,” katanya kepada pemberita di Karnival Belia Madani di Padang Rengas, Perak hari ini.
Beliau berkata Amirudin dan Saifuddin mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan operasi dan organisasi pilihan raya.
Mengenai kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang kemungkinan langkah pemotongan kos dalam belanjawan 2027 di tengah ketidaktentuan ekonomi global, Kamil berkata ia adalah pendekatan yang berhemat.
“Mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab akan menilai semula kedudukan ekonomi negara dan menyelaraskan perbelanjaan dengan keperluan semasa.
“Walaupun langkah sedemikian mungkin dilihat tidak popular, ia penting untuk memastikan kelestarian ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau juga berkata sebarang penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
“Program mereka akan terus dilaksanakan, tetapi kerajaan akan mengkaji semula kaedah dan pendekatan perbelanjaan untuk mengenal pasti bidang yang sesuai untuk penjimatan,” katanya.



