PKR raih lebih 5,000 ahli baru tanpa kempen besar, kata Fahmi
PKR raih lebih 5,000 ahli baru tanpa kempen besar

KUALA LUMPUR, 27 Mei — PKR merekodkan lebih 5,000 ahli baru antara April dan bulan ini, kata ketua penerangan parti itu Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata peningkatan itu dicapai tanpa sebarang program besar atau usaha promosi khusus oleh parti.

“Bagi PKR sendiri, dengan keahlian lebih sejuta, kita lihat dari April hingga Mei sahaja, tanpa program besar dan secara pertumbuhan organik tanpa promosi, jumlah ahli baru PKR melebihi 5,000.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“PKR akan terus menjadi tulang belakang Kerajaan Perpaduan sambil memainkan peranan memastikan agenda reformasi dan aspirasi rakyat direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Lembah Pantai Korban Perdana Perpaduan sempena Aidiladha di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa sebuah parti baru telah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian dalam tempoh lima hari selepas pelancaran semulanya.

Mengenai program korban tahun ini, Fahmi berkata Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai telah menyumbang 72 ekor lembu di seluruh kawasan parlimen itu.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata 10 ekor lembu diuruskan di lokasi utama program Lembah Pantai Korban Perdana Perpaduan hari ini.

Beliau berkata sumbangan itu melibatkan pengagihan kepada surau, masjid, persatuan penduduk dan jawatankuasa kejiranan di kawasan itu.

Fahmi berkata program itu turut dihadiri wakil parti komponen Kerajaan Perpaduan, termasuk Amanah Lembah Pantai, UMNO dan PKR.

“Saya percaya program seperti ini dapat mengeratkan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, komuniti dan rakan dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga