KUALA LUMPUR, 5 Jun — Persidangan Nasional DAP 2026 yang asalnya dijadualkan pada 12 Julai telah ditangguhkan ke 16 Ogos, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.
Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada mesyuarat malam tadi selepas mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan Negeri Sembilan, yang membuka jalan kepada pilihan raya negeri di kedua-dua negeri.
“DAP juga akan mempertahankan semua kerusi penyandangnya di Johor dan Negeri Sembilan serta bertanding beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan akhir rundingan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada akhir minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loke berkata pemilihan calon untuk mewakili DAP dalam dua pilihan raya negeri itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon parti.
Jawatankuasa itu terdiri daripada Loke, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP Chong Chieng Jen.
Sementara itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan bekas Ahli Dewan Undangan Chennah berkata DAP akan berkempen secara giat dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan untuk membantu memastikan kemenangan PH di kedua-dua negeri.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Dewan Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi telah dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan bahawa Dewan Negeri yang mempunyai 36 kerusi akan dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. — Bernama



