4 maut nahas di Simpang Renggam akibat dua kereta dipandu melulu
4 maut nahas di Simpang Renggam akibat dua kereta dipandu melulu

PETALING JAYA: Kemalangan maut yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang tengah hari semalam berpunca daripada tindakan pemandu dua kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu, menurut polis.

Kronologi kejadian

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu oleh seorang pemuda berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam. Kereta tersebut dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

“Polis menerima laporan kemalangan pada pukul 1.15 tengah hari yang membabitkan lima buah kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut Bahrin, BMW 530e itu merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan tersebut, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.

Korban dan mangsa cedera

Akibat rempuhan itu, pemandu Toyota Vios iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh adalah seorang wanita berusia 73 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. Kesemua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Bahrin berkata, pemandu BMW 530e meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan 7 tahun yang mengalami kecederaan di kepala kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan. Kesemua mangsa cedera mendapat rawatan di hospital yang sama,” katanya.

Tindakan polis

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis telah menahan pemandu Mercedes Benz A250 serta merampas kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang.

“Permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42(1) akta sama, kerana memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” kata Bahrin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga