PRN Negeri Sembilan: Ujian Adat dan Politik
PRN Negeri Sembilan: Ujian Adat dan Politik

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini bukanlah pilihan raya biasa. Ia bukan sekadar mengenai pembangunan atau prestasi kerajaan. Menurut laporan Malay Mail, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menerima notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh PRN. Ini bermakna PRN pasti akan diadakan, dan drama pagi semalam di depan rumah Tunku Besar Tampin serta ‘pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar yang ‘baharu’ di sebuah hotel di Melaka boleh diketepikan.

Krisis Institusi Adat

Kerajaan persekutuan menegaskan ia tetap mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ini menjadikan pembubaran DUN dianggap sah setelah diperkenan baginda. Sementara itu, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan perintah injuksi sementara untuk mengekalkan status quo di tengah krisis. Namun, Undang serta pemimpin adat membantah pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar Aminuddin Harun pada Khamis, dan memberi amaran akan kesan undang-undang. Krisis ini jelas tidak menunjukkan penyelesaian.

Menurut anak jati Negeri Sembilan, Kamarulzaman Zainal, yang juga bekas setiausaha akhbar kepada Abdullah Ahmad Badawi, “apabila adat dan politik bertembung di bumi bertuah ini, undi rakyat bukan lagi sekadar memilih wakil rakyat tetapi menentukan neraca keabsahan antara istana dan balai undang.” Bagi penulis, isu utama PRN kali ini berkait langsung dengan soal siapa derhaka, siapa setia, dan siapa pertahan adat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Peranan Parti Politik

Kamarulzaman menambah, “Perikatan Nasional akan terus menggunakan isu ini terutama di kawasan-kawasan yang masih kuat berpegang pada adat.” Seorang pemerhati politik, juga anak jati Negeri Sembilan, menyatakan Umno menangguk di air keruh, dan langkah-langkah yang diambil oleh Undang yang empat menjadikan krisis lebih serius. Menurutnya, rakyat melihat isu ini dalam perspektif berbeza. Bagi penyokong Umno, naratif kegagalan kerajaan negeri lebih ketara, manakala Pakatan Harapan melihat campur tangan politik Umno dalam krisis ini.

“Di samping itu, tampil beberapa figura Bersatu daripada tim Reset seperti Rais Yatim dan Chegu Bard yang mempertajamkan lagi pertembungan ini,” kata pemerhati itu.

Sejarah Rais Yatim

Bekas wartawan, Kalimullah Hassan, mengingatkan kita bahawa Rais pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982, kemudian menjadi menteri Umno di peringkat pusat sehingga 1987. Beliau terlibat dalam gerakan yang gagal menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, lalu dipecat. Rais ketika itu sudah membakar jambatan dengan Umno, namun 12 tahun kemudian, setelah gagal dalam Semangat 46, beliau kembali ke Umno. Kalimullah menyatakan bahawa Abdullah Badawi, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, campur tangan dan membawa Rais ke dalam Kabinet. Apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri pada 2003, Rais “continued to be a favoured minister.”

Bagaimanapun, apabila Pak Lah hilang majoriti dua pertiga pada pilihan raya 2008, Rais antara orang pertama yang berpaling tadah terhadap Pak Lah. Rais menyokong Najib Razak sebagai Perdana Menteri, namun apabila Najib bersama Umno-BN tewas pada 2018, Rais masuk Bersatu pimpinan Mahathir. Apabila Mahathir tumbang pada 2020, Rais terus setia dengan orang yang menjatuhkan Mahathir, iaitu Muhyiddin Yassin. Kini, apabila Muhyiddin berdepan masalah ahli keluar parti, Rais menyebelahi Hamzah Zainudin, musuh Muhyiddin. “Wow,” kata Kalimullah. Sekarang Rais menjadi ‘penasihat Undang Negeri Sembilan dan Yamtuan yang baharu’.

Naratif PRN

Pemerhati politik tadi berkata, naratif yang mendominasi krisis ini “itulah yang akan mewarnai PRN nanti.” Menurut beliau, kerajaan negeri yang bakal dipilih dan mendapat mandat baharu hanya berperanan sebagai mediator bagi membantu proses penyelesaian krisis. Dalam konteks ini, PRN lebih bertujuan untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri melalui kerajaan yang punya mandat rakyat yang jelas, majoriti serta segar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Kesimpulan beliau: “Parah krisis ini tercalar pusaka, hilang adat, rendah budaya, turun dan tabal tiada susila. Yang nak diturun tanpa sebab, yang ditabal seperti berharap, majlis menyalah adab.” Kamarulzaman pula menyimpulkan: “Kito tengok undi nanti siapo yang terpolanting siapo yang melonting.” Kalimullah menambah: “Rais dan rakan-rakanya, bekas Bersatu, bekas Umno, bekas apa sahaja, seharusnya tahu apa yang mereka lakukan. Politik boleh dan memang menghancurkan masyarakat dan negara. Sejarah penuh dengan contohnya.”

Penyelesaian Krisis

Pemerhati politik itu menegaskan, PRN tidak akan menyelesaikan kemelut ini secara tuntas kerana kedudukan dan bidang kuasa institusi adat terletak di bawah kebijakan luak masing-masing. “Justeru penyelesaian sebenar memerlukan Yamtuan Besar dan para Undang kembali bermusyawarah serta mencapai persefahaman melalui meja rundingan,” kata beliau. Penulis tertanya-tanya, adakah itu akan berlaku? Bolehkah ia berlaku?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.