Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, menggesa kerajaan mempercepatkan pelan pembangunan stesen jana kuasa nuklear pertama negara sebagai langkah berani bagi menjamin kedaulatan tenaga jangka panjang. Beliau memberi amaran bahawa sikap kerajaan yang terus menangguhkan keputusan kritikal itu akan menyebabkan negara terperangkap dalam skrip krisis ekonomi berulang pada masa hadapan.
Proses pembinaan mengambil masa belasan tahun
Wan Fayshal berkata projek berimpak tinggi itu tidak boleh ditangguh lagi memandangkan proses pembinaan stesen jana kuasa nuklear biasanya memakan masa lama sehingga belasan tahun. “Loceng amaran sudah berbunyi lama, tapi kita tetap tekan butang penangguh di tepi bantal kita tiap-tiap hari. Sudah tiba masa kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang jitu dan tepat berkenaan dengan kedaulatan tenaga,” katanya ketika membahaskan isu krisis tenaga global di Dewan Rakyat.
Kerajaan perlu bertindak sekarang
“Kalau kita masih lagi bertangguh, masih lagi tangguh dan tangguh, akhirnya bila berlaku setiap 10 tahun krisis ekonomi, kita akan ulang skrip yang sama—rakyat merana,” tegasnya. Walaupun menyokong usaha Menteri Ekonomi Akmal Nasir meneruskan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Wan Fayshal menegaskan pembinaan jana kuasa nuklear sewajarnya dijadikan antara tunjang utama dalam menyelesaikan krisis tenaga.
Kerajaan sasar selepas 2030
Pada 6 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan mengambil pendekatan berperingkat dan dijangka memuktamadkan rancangan penggunaan tenaga nuklear selepas 2030. Menteri peralihan tenaga dan transformasi air (Petra) itu berkata, ini bagi memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan sosial, dan alam sekitar dapat dipenuhi sebelum dilaksana. Kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kritik pemotongan belanjawan sektor kritikal
Sementara itu, Wan Fayhsal turut membidas pendekatan Putrajaya yang didakwanya cuba mengurangkan belanjawan bagi sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan setiap kali berdepan tekanan ekonomi. Sebaliknya, beliau menyarankan kerajaan memotong peruntukan menteri yang didakwa kerap melakukan lawatan ke luar negara bersama delegasi besar. “Ini tidak patut. Sepatutnya potong belanjawan menteri yang keluar negara kerap sangat ni, yang bawa banyak sangat rombongan pengiring,” katanya.
Seru libatkan pembangkang
“Di pihak pembangkang, kami menyeru libatkan kami dalam kerangka menyelesaikan masalah ekonomi rakyat sesuai dengan seruan pendekatan keseluruhan kerajaan,” katanya sambil menambah pembangkang mempunyai ramai pakar yang sedia membantu demi kepentingan negara.



