JOHOR BAHRU, 20 Mei — Polis Johor telah membuka siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang mendakwa ditolak oleh sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal semasa satu perhimpunan di bandar raya ini pada Ahad lalu, menurut Sinar Harian.
Laporan polis diterima
Pemangku Ketua Polis Johor, Timbalan Komisioner Hoo Chuan Huat, berkata pihak polis menerima laporan pada jam 2.16 petang semalam daripada seorang wanita tempatan berusia 32 tahun berhubung kejadian itu.
Beliau berkata wanita tersebut mendakwa ditolak oleh kumpulan berpakaian hitam, yang membawa kepada sentuhan fizikal ketika menghadiri perhimpunan tersebut.
“Perkara ini juga tular selepas mendapat liputan media dan beberapa video kejadian dimuat naik di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Siasatan lanjut dijalankan
Hoo berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan.
Polis juga menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran, talian hotline Polis Johor di 019-2792095, atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.
Kesal kejadian gangguan terhadap media
Sebelum ini, Kelab Media Johor (KMJ) menyatakan kesal berhubung insiden yang melibatkan kekecohan dan dakwaan gangguan terhadap petugas media yang membuat liputan konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru pada Ahad lalu.
KMJ berkata insiden itu berlaku ketika petugas media dari Johor dan Kuala Lumpur menjalankan tugas liputan dan cuba mendapatkan reaksi daripada pemimpin parti.



