Seorang peniaga durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memuat naik kenyataan palsu mengenai penjualan 52 juta liter minyak ke Filipina melalui akaun Facebooknya pada April.
Tertuduh didakwa hantar komunikasi dengan niat menyakiti perasaan
Nurhafizul Badrul Hisham, 34, sebagai tertuduh didakwa dengan membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi dengan niat untuk menyakiti perasaan orang lain di Facebook melalui akaun 'Nurhafizul Badrul Hisham' pada 12 April.
Hantaran itu kemudiannya dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya pada jam 6.48 pagi, 13 April.
Kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pegawai pendakwa MCMC, Mohd Farhan Kamarudin, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi bapa kepada dua anak itu.
Peguam mohon jaminan rendah
Peguam Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir, yang mewakili Nurhafizul, memohon jaminan rendah RM5,000 kerana beliau hanya berniaga durian dengan pendapatan tidak tetap selain menanggung isteri yang tidak bekerja.
“Tertuduh mempunyai anak kecil berusia tiga dan lima tahun serta menjaga bapanya yang berusia 96 tahun yang mengalami strok dan ibunya yang berusia 65 tahun,” katanya.
Mahkamah tetapkan jaminan dan sebutan semula
Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes.
Nurhafizul membayar wang jaminan tersebut. — Bernama



