Kegagalan Perikatan Nasional (PN) membincangkan status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi malam tadi hanya memanjangkan krisis dalaman yang sedang berlaku, kata pengerusi Urimai, P Ramasamy.
Ramasamy berkata, PAS tidak sepatutnya menggunakan kaedah tidak demokratik dan tidak menyenangkan untuk menegakkan hegemoni politiknya ke atas gabungan pembangkang yang masih muda itu.
Beliau berkata, memandangkan keretakan yang semakin melebar antara PAS dan Bersatu, mesyuarat tergempar itu sepatutnya menumpukan kepada masa depan Bersatu dalam gabungan.
Beliau juga berkata, Bersatu sepatutnya mendesak supaya kedudukannya dalam PN dibincangkan sebelum kemasukan parti komponen baharu.
Penambahan parti komponen baharu
“Sekarang, dengan penambahan parti komponen baharu, yang mana sebahagiannya mungkin cenderung memihak kepada PAS, Bersatu mungkin menghadapi kesukaran mengekalkan kekuatannya dalam PN.
“Akhirnya, PAS mungkin menguasai PN, tetapi dengan harga yang mahal iaitu menjejaskan gabungan pembangkang itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sidang media selepas mesyuarat malam tadi, pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi telah bersetuju menerima kemasukan Parti Wawasan Negara dan Pejuang ke dalam gabungan.
Samsuri, yang juga naib presiden PAS, berkata mesyuarat berjalan dengan harmoni dan kedudukan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan.
PAS sedar risiko konfrontasi terbuka
Ramasamy berkata, PAS, walaupun dengan keberaniannya memutuskan hubungan dengan Bersatu dan menyingkirkan beberapa pemimpinnya daripada jawatan dalam PN, mungkin menyedari risiko konfrontasi terbuka.
“PAS merasakan Bersatu datang bersedia untuk bertempur jika ada percubaan untuk menolaknya keluar dari PN.
“(Tetapi) semakin keras PAS mendesak Bersatu ke sudut, semakin pantas dan dahsyat tindakan balas yang mungkin berlaku,” kata Ramasamy.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sedang memikirkan cara untuk mengatasi kebuntuan dalam PN.
“Bukan dia tiada pilihan lain,” tambahnya.
Ikatan Prihatin Rakyat sebagai alternatif
“Mungkin sebagai jangkaan masalah masa depan dengan PAS, Muhyiddin mempunyai pandangan jauh untuk melancarkan gabungan lebih besar iaitu Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).”
Beliau menambah, memandangkan cabaran semasa, IPR boleh memberikan koheren yang amat diperlukan dalam blok pembangkang.
Urimai adalah sebahagian daripada gabungan IPR, yang turut terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, Parti Kemajuan Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan, dan Parti Rakyat India Malaysia.



