Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Annuar Musa meminta Bersatu bertenang dan tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung status kedudukan parti itu dalam gabungan.
Elak tindakan unilateral
Sambil mengingatkan semua pihak tidak ‘membuat kesimpulan awal’, Annuar berkata tindakan sedemikian tidak membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku, sebaliknya boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Proses seterusnya perlu diurus dengan cermat dan tidak terburu-buru kerana banyak aspek undang-undang perlu diteliti. Selain itu, kita perlu mengambil kira ahli anggota lain terutama MIPP dan Gerakan. PAS tak boleh buat sesuka hati.
“Justeru, elok jika dikurangkan kenyataan yang tidak membantu proses ini. Apatah lagi kenyataan yang melanggar garis tatatertib parti anggota kerana ia boleh menjurus kepada satu tindakan lain pula,” katanya di Facebook.
Pengalaman Bersatu sendiri
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut mengingatkan Bersatu mengenai pengalaman parti itu sendiri dalam menguruskan disiplin ahli sebelum ini.
“Kita percaya Bersatu banyak pengalaman menghadapi situasi seperti ini sehingga terpaksa menggerakkan jawatankuasa disiplin, membicara, menggantung dan memecat ahlinya. Sebenarnya peruntukan yang ada dalam Perlembagaan PN tidak jauh bezanya daripada Perlembagaan Bersatu.
“Yang penting PAS atau Bersatu tidak boleh bertindak sendiri secara unilateral,” katanya yakin notis mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju gabungan itu secara tertib.
Kedudukan Bersatu
Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meneguhkan pendirian kekal dalam PN di sebalik kemelut dengan PAS, memberi alasan beliau yang memulakan PN, dan akan bertanding pada pilihan raya atas lambang gabungan itu.
Katanya, parti itu sedia untuk berlawan di semua bahagian dengan PAS yang baru-baru ini memutuskan hubungan dengan mereka. Beliau turut mendakwa, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar belum memanggil mesyuarat bagi membincangkan persediaan pilihan raya, mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa mesyuarat sedemikian ‘kritikal’.



