KUANTAN, 17 Jun — Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sedang menjalankan siasatan berikutan dakwaan bahawa beberapa pengunjung mengalami gejala cirit-birit, muntah dan demam selepas mandi di sebuah sungai di kawasan rekreasi berhampiran Bentong baru-baru ini.
Penilaian Risiko Awal
JKNP dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa penilaian risiko telah dijalankan dan hasil siasatan awal mendapati tiada pemberitahuan insiden keracunan makanan atau peningkatan luar biasa kes gastroenteritis akut (AGE) yang diterima melalui sistem pengawasan sedia ada.
“Setakat ini, tiada kes AGE yang disahkan berkaitan dengan kejadian ini. Persampelan air mentah untuk analisis mikrobiologi juga dijalankan di beberapa lokasi di sepanjang Sungai Benus, Janda Baik pada 14 Jun dan keputusan analisis makmal masih belum keluar,” kata kenyataan itu.
Tindakan Kawalan dan Pencegahan
JKNP mengumumkan bahawa tindakan kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan termasuk pengesanan kes aktif, siasatan epidemiologi untuk mengenal pasti punca pendedahan dan faktor risiko berkaitan serta penilaian risiko alam sekitar di kawasan rekreasi yang terlibat.
Menurut kenyataan itu, pengawasan AGE di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di kawasan sekitar juga telah dipertingkatkan untuk mengesan sebarang kluster atau peningkatan kes dengan hubungan epidemiologi.
Pada masa yang sama, JKNP bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menjalankan penilaian kualiti air dan mengenal pasti punca pencemaran yang mungkin untuk menyokong pelaksanaan langkah kawalan yang sesuai.
Nasihat kepada Orang Awam
Sehubungan itu, JKNP menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah, sakit perut atau demam selepas melakukan aktiviti rekreasi di kawasan sungai supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
Pengusaha premis rekreasi dan penginapan mesti memastikan kemudahan sanitasi, bekalan air bersih dan sistem pembetungan mematuhi keperluan kesihatan awam dan diselenggara secara berkala untuk mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan penyakit bawaan air.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi ini dengan teliti dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa berdasarkan hasil siasatan epidemiologi, penilaian risiko dan keputusan analisis makmal.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan awam dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KKM. — Bernama



