BUKIT KAYU HITAM, 14 Jun — Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Malaysia (AKPS) merampas 26,040 kilogram ayam beku bernilai RM208,320 pada 8 Jun lalu selepas disyaki menggunakan sijil halal palsu untuk pengimportan.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof, berkata rampasan itu dilakukan bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini selepas pengimport mengemukakan deklarasi import untuk pemeriksaan dan pengesahan.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat ketidakaturan pada sijil halal yang dikemukakan, di mana maklumat dalam sistem tidak sepadan dengan butiran pada sijil tersebut.
Pengesahan Jakim
“Perkara itu kemudian dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengesahan, dan pada 12 Jun, Jakim mengesahkan bahawa sijil halal yang dikemukakan adalah palsu.
“Rampasan dilakukan untuk memudahkan siasatan lanjut dan tindakan oleh Maqis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fauzi, siasatan awal mendapati ejen atau wakil pengimport dipercayai menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kelulusan daripada agensi penguatkuasaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket yang terlibat dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu untuk mengimport produk makanan ke negara ini.
Nilai Rampasan
Fauzi berkata sebuah treler yang digunakan untuk mengangkut konsainan ayam beku itu turut dirampas dan dianggarkan bernilai RM25,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM233,320.
Beliau berkata AKPS memandang serius sebarang percubaan mengemukakan dokumen palsu, terutama yang melibatkan pensijilan halal, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan dan meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi menjaga keselamatan makanan negara, mempertahankan integriti pensijilan halal dan memastikan pematuhan peraturan import. — Bernama



