PETALING JAYA: Rampasan polis terhadap cecair vape yang dicampur dengan dadah sintetik berbahaya memberikan asas kukuh kepada kerajaan untuk mengharamkan penggunaannya di negara ini, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, polis telah merekodkan 402 kes sedemikian, lapor Bernama.
Dadah sintetik dalam vape
“Pengesanan dadah sintetik seperti benzodiazepine, nimetazepam, MDMA, cannabinoid, tetrahydrocannabinol dan methamphetamine dalam sedi aan vape jelas dilarang dan haram digunakan, terutama dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur.
“Atas kekuatan bukti itu sahaja, sudah ada asas kukuh yang menghala ke arah larangan vape. Itu adalah hujah yang meyakinkan.
“Perkara ini kini dalam pertimbangan kerajaan dan kementerian kesihatan juga terlibat dalam proses itu,” katanya selepas melancarkan program anti-merokok dan anti-vape “Cik Era Naik MRT” di stesen MRT Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur malam tadi.
Kerjasama agensi
Pada 11 Jun, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “Piu Piu”, yang dikesan dalam cecair rokok elektronik, menunjukkan mengapa peranti ini patut diharamkan.
Dzulkefly berkata usaha penguatkuasaan terhadap vape dijalankan secara agresif melalui kerjasama strategik merentas agensi, termasuk dengan kementerian dalam negeri dan polis.
Isu sijil cuti sakit palsu
Mengenai isu sijil cuti sakit palsu, Dzulkefly berkata kementerian sedang mengkaji pelaksanaan sijil cuti sakit digital (e-MC) untuk mengurangkan penyalahgunaan tersebut.
Beliau mengulas kes terbaru membabitkan lima individu, termasuk seorang jururawat di Pekan, Pahang, yang direman bagi membantu siasatan penjualan dan pembelian MC yang disyaki palsu.



