PUTRAJAYA, 20 Jun — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menegaskan bahawa proses pemilihan untuk Program Latihan Kepakaran Lanjutan (Tawaran C) dilaksanakan secara berstruktur, telus dan berdasarkan merit.
Kementerian itu berkata proses pemilihan melibatkan saringan terhadap syarat kelayakan umum, penilaian profesional dan penilaian teknikal oleh disiplin kepakaran masing-masing sebelum cadangan disahkan oleh Jawatankuasa Pemandu Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM.
“Bagi pengambilan 2026/2027, sebanyak 672 permohonan diterima melibatkan Program Subspesialis Perubatan, Program Subspesialis Pergigian, Bidang Kepentingan Khas Pergigian (AOSI), Kesihatan Awam dan Kesihatan Keluarga.
“Daripada jumlah itu, KKM memperuntukkan 400 slot latihan, dan setakat ini, 307 calon telah ditawarkan tempat dalam program selepas memenuhi syarat umum, kriteria khusus kepakaran dan piawaian penilaian profesional,” menurut kenyataan KKM hari ini.
KKM juga menjelaskan bahawa syarat berkaitan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tidak dikenakan secara unilateral oleh kementerian atau Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), tetapi tertakluk kepada dasar yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kementerian itu berkata selepas perbincangan dengan JPA, penilaian prestasi yang dijalankan semasa tempoh Pengalaman Kerja Seliaan (SWE) bagi pegawai perubatan pakar kini boleh dipertimbangkan sebagai tambahan kepada dua tahun penilaian prestasi selepas penggazetan yang diperlukan untuk permohonan ke Program Latihan Kepakaran Lanjutan.
Mengulas mengenai rayuan yang melibatkan 123 pemohon, KKM berkata semakan silang oleh BPL dan Bahagian Pembangunan Perubatan (BPP) mendapati kumpulan itu tidak terdiri daripada satu kategori seragam.
“Daripada 123 nama yang dikemukakan, hanya 20 individu dikenal pasti sebagai antara 50 calon yang sedang dalam semakan berikutan keputusan JPA bertarikh 19 Jun 2025.
“Daripada jumlah ini, hanya lapan memenuhi keperluan terkini JPA untuk dipertimbangkan melalui kemasukan penilaian prestasi yang diperoleh semasa tempoh SWE. Baki 115 pemohon didapati tidak memenuhi syarat umum dan kriteria khusus kepakaran yang ditetapkan oleh disiplin masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KKM menolak dakwaan bahawa kesemua 123 pemohon layak tetapi dinafikan tempat semata-mata kerana isu berkaitan syarat LNPT.
Pada masa sama, kementerian mengakui wujud perbezaan dalam pelaksanaan latihan antara Program Sarjana dan Program Laluan Selari, yang telah berkembang mengikut dasar dan kaedah pelaksanaan semasa.
Menurut KKM, pegawai yang menjalani Program Laluan Selari biasanya kekal dalam jawatan substantif mereka dan terus berkhidmat di fasiliti kesihatan KKM, membolehkan mereka menerima penilaian LNPT sepanjang tempoh latihan.
“Sebaliknya, peserta Program Sarjana di bawah skim Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) biasanya tidak menerima penilaian LNPT kerana mereka bercuti belajar dan tertakluk kepada mekanisme penilaian akademik dan profesional yang berbeza,” katanya.
Kementerian juga menyatakan bahawa sesetengah pegawai yang menjalani latihan melalui Program Laluan Selari ditempatkan di Jawatan Simpanan Latihan (JSL) atau sedang menunggu penempatan di jawatan sedemikian, menyebabkan penilaian prestasi tidak dilaksanakan secara seragam di semua fasiliti dan pusat tanggungjawab.
KKM menambah bahawa usaha sedemikian adalah penting untuk memastikan peluang menyertai Program Latihan Kepakaran Lanjutan dinilai secara adil berdasarkan kriteria yang ditetapkan sambil mengambil kira kepelbagaian laluan latihan kepakaran yang tersedia.
Kementerian itu berkata inisiatif itu juga akan membantu memastikan pembangunan mampan tenaga kerja subspesialis negara tanpa menjejaskan keperluan perkhidmatan dan kesinambungan penyampaian penjagaan kesihatan kepada orang ramai. — Bernama



