KOTA BHARU, 30 Mei — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut dan menambah baik prosedur operasi di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat berikutan isu kelewatan rawatan yang tular di media sosial semalam.
Jabatan kesihatan negeri dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa ia mengambil maklum mengenai hantaran tular yang dimuat naik semalam berhubung rawatan seorang pesakit wanita berusia 17 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pesakit tiba di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat pada jam 9:50 malam Rabu lalu dengan aduan sesak nafas, demam, batuk, dan selsema.
“Pesakit telah diperiksa oleh pegawai perubatan pada jam 9:52 malam, dan pemeriksaan mendapati tiada tanda serangan asma akut, manakala pemeriksaan lanjut di Triage Sekunder juga mendapati keadaannya stabil.
“Pesakit kemudiannya ditempatkan di Zon Hijau sementara menunggu pemeriksaan lanjut kerana terdapat kes lain di Zon Kuning dan Zon Merah yang memerlukan rawatan segera pada masa itu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, apabila dipanggil semula untuk pemeriksaan lanjut pada jam 12:02 tengah malam, pesakit didapati telah meninggalkan hospital tanpa memaklumkan kepada kakitangan.
Menurut kenyataan itu, semakan awal mendapati beberapa aspek yang perlu diberi perhatian, terutamanya dari segi komunikasi dan pengurusan pesakit di Unit Kecemasan dan Trauma.
Sebagai respons, Hospital Tumpat akan menjalankan siasatan terperinci di samping menambah baik prosedur sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Sebagai langkah penambahbaikan awal, pesakit yang mempunyai sejarah asma akan diberi pemantauan berterusan sehingga rawatan mereka selesai. Selain itu, pesakit di Zon Hijau yang menunggu giliran untuk rawatan juga akan dinilai semula secara berkala sehingga mereka dipanggil untuk pemeriksaan lanjut,” tambah kenyataan itu.
Jabatan kesihatan negeri menegaskan bahawa ia memandang serius perkara itu dan tetap komited untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang profesional, berkualiti dan berfokus kepada kesejahteraan pesakit, selaras dengan hasrat Kementerian Kesihatan. — Bernama



