Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sistem persenjataan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sempena Hari Terbuka TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
Perkukuh Keupayaan CSAR
TUDM dalam kenyataan memaklumkan, perolehan sistem itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR) di kawasan berisiko tinggi selaras Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55). Menurut TUDM, sistem berkenaan juga akan memenuhi keperluan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, sekali gus meningkatkan keselamatan anak kapal dan anggota dalam misi menyelamat.
Perolehan dari Belgium
Kenyataan itu memaklumkan kerajaan telah menandatangani surat setuju terima (LOA) bersama syarikat pembuat senjata terkemuka dari Belgium, FN HERSTAL bagi perolehan lima unit mesingan berkenaan. “Senjata ini merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.
Ujian Penerimaan
TUDM memaklumkan sebelum penyerahan rasmi itu, proses ujian penerimaan akhir (FAT) dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lalu membabitkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan. Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan TUDM.
Majlis Penyerahan
Terdahulu, majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris.



