Artis juga negarawan. Negarawan tidak semestinya memegang jawatan dalam kerajaan. Tak semestinya duta, menteri atau kepala negara. Saya pernah tinggal di Jakarta lebih 10 tahun lalu. Ketika melewati lorong kecil menuju ke rumah sewaan saya, adakala terdengar lagu Malaysia berkumandang dari corong radio jiran. Selalunya kalau begitu, saya akan berasa bangga dan kagum. “Sampai ke ceruk ini lagu tu ya?” bisik saya. Ada beberapa kenalan saya di sana mengaku meminati lagu-lagu ciptaan Saari Amri yang dinyanyikan oleh kumpulan Ukays dan Slam, ramai yang mengenali Siti Nurhaliza, pernah mendengar Sheila Majid. Ada juga yang menggemari Saleem Iklim atau kumpulan Exists. Beberapa orang kenalan juga berseloroh dengan saya dengan memanggil saya ‘Bang Mail’, nama salah satu watak dalam animasi Upin dan Ipin. Barangkali nama-nama itu dekat dengan mereka. Paling diingati sudah tentulah Amy Search yang pernah menggegar Indonesia dengan lagu Isabella, serta duetnya dengan Inka Christie melalui lagu Cinta Kita dan Nafas Cinta. Sehingga kini Amy terus popular di sana.
Pertemuan Amy Search dengan Gubernur Jawa Barat
Baru-baru ini Amy mengirimkan kepada saya melalui WhatsApp foto beliau bersama Gubernur Jawa Barat, Kang Dedi Mulyadi. Ada juga video mereka menyanyi bersama dan berbual mesra seperti sahabat lama. Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar pertemuan antara seorang artis dan seorang politikus. Namun bagi saya, ia menggambarkan sesuatu yang lebih besar. Seorang penyanyi rock dari Malaysia masih diraikan dan diterima baik oleh tokoh politik Indonesia selepas puluhan tahun. Hubungan seperti itu sudah pasti terbina atas rasa hormat yang tinggi serta penghargaan terhadap persamaan budaya walaupun masing-masing datang dari bidang yang berbeza. Amy beritahu saya betapa dirinya terlalu mementingkan penjagaan imej dalam memelihara perhubungan erat antara dua negara. Semenjak zaman Isabella, Amy kekal menjaga hubungan ‘diplomatik’ dengan Indonesia. Menurutnya, artis pun mampu menjadi lebih baik daripada politikus dalam menjalin silaturrahim antara dua negara. Sisi inilah yang menarik perhatian saya untuk menyentuh bab ini pada kali ini. Ia bukan soal peribadi atau perniagaan semata-mata. Bagi Amy, beliau mewakili negara. Di situlah saya mula membezakan antara seorang artis dengan seorang negarawan budaya.
Definisi Negarawan Budaya
Negarawan tidak semestinya memegang jawatan dalam kerajaan. Tak semestinya duta, menteri atau kepala negara. Ia boleh juga hadir dalam bentuk seniman, budayawan, ahli sukan atau ahli perniagaan. Diplomatik tak semestinya berlaku di simposium, sidang kemuncak atau meja rundingan. Kita disempitkan seolah-olah diplomasi hanya berlaku di bangunan kerajaan dan dewan persidangan, sedangkan dalam kehidupan sebenar, hubungan antara negara turut dibina oleh rakyat biasa melalui budaya, hiburan dan seni. Ini tak dapat kita sangkal kebenarannya. Politikus datang dan pergi mengikut keputusan pilihan raya. Lagu, filem dan karya seni boleh kekal dalam ingatan selama puluhan tahun. Ketika membawa anak istimewa saya ke kelas terapi di Jakarta dahulu, saya sering terdengar juruterapi membuat latihan sambil mereka menyanyikan lagu kanak-kanak. Barulah saya tahu ada lagu kanak-kanak yang saya dengar ketika kecil rupanya sudah lama merata di Nusantara. Lagu Bintang Kecil, Potong Bebek Angsa dan Naik-Naik Ke Puncak Gunung antaranya. Sebab itulah saya percaya artis juga sebenarnya duta negara. Karya mereka boleh menyatukan semua anak bangsa dunia. Malah dalam keadaan tertentu, mereka bukan sekadar duta negara. Mereka menjadi negarawan yang menghubungkan masyarakat ketika saluran politik dan diplomatik gagal mencari titik persamaan.
Hubungan Malaysia-Indonesia dan Kuasa Budaya
Kita lihat saja hubungan Malaysia dan Indonesia misalnya yang sentiasa mengalami pasang surut. Isu pertikaian sempadan, isu pekerja migran atau jerebu sering berulang-ulang, dan ada masanya sentimen nasionalisme melampau menyebabkan kedua-dua pihak saling menyerang di media sosial. Bab makanan, sukan malah muzik juga turut menjadi bahan cemuhan dan ejekan. Namun di sebalik semua itu, sedar tak sedar majoriti rakyat kedua-dua negara masih menonton drama yang sama, mendengar lagu yang sama dan berkongsi kenangan budaya yang hampir serupa. Cemburu itu timbul dek kerana ada pihak-pihak yang entah kenapa sakit benar hatinya. Mereka seakan-akan sentiasa cuba menghalang agar Malaysia dan Indonesia berbaik-baik. Sebab itu kita perlukan ikon budaya yang mampu mengikat kemesraan kerana melalui seni dan budayalah selalunya ada ruang untuk menyelesaikan sebarang kekeruhan.
Slogan ‘Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza’
Sekitar awal tahun 2000-an dahulu pernah berlaku sentimen anti-Malaysia memuncak di Indonesia, maka muncullah satu slogan sinis yang cukup menarik perhatian: ‘Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza’. Slogan itu mungkin kedengaran lucu, tetapi mesejnya sangat besar. Ketika kemarahan terhadap Malaysia sedang menggelegak, masih ada ruang istimewa yang diberikan kepada seorang penyanyi. Orang boleh marah kepada kerajaan dan negara lain, tetapi mereka masih menyayangi artis yang telah ‘mesra’ dalam kehidupan mereka. Di situlah terletaknya kuasa budaya. Tak pelik apabila seorang penyanyi berjaya membuka pintu hati yang gagal dibuka oleh ucapan politik. Itulah yang dimaksudkan oleh Amy Search kepada saya. Beliau diterima begitu besar di Indonesia kerana populariti baginya bukan sekadar soal jualan album atau tepukan penonton. Populariti datang bersama tanggungjawab. Seorang artis yang dihormati sebenarnya membawa nama negara ke mana sahaja mereka pergi.
Ikon Budaya Malaysia: Siti Nurhaliza dan Upin Ipin
Perkara yang sama berlaku kepada ramai artis Malaysia yang lain. Siti Nurhaliza menjadi simbol kelembutan budaya Melayu moden. Upin dan Ipin pula memperkenalkan kehidupan kampung Malaysia kepada jutaan kanak-kanak di seluruh rantau ini. Bayangkan seorang kanak-kanak Indonesia membesar dengan menonton Upin dan Ipin. Secara tidak langsung dia membesar dengan mendengar bahasa Melayu Malaysia, mengenali makanan tempatan, memahami suasana kampung dan menghargai nilai kekeluargaan yang dekat dengan masyarakat kita. Malah kanak-kanak di kejiranan kami dahulu, apabila mengetahui kami dari Malaysia, mereka memanggil kami ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ kerana mendapatinya daripada siri Upin dan Ipin. Begitu juga rakyat Malaysia yang membesar dengan lagu-lagu Indonesia. Hubungan budaya ini mewujudkan satu rasa keakraban yang tidak boleh diukur melalui statistik perdagangan atau perjanjian diplomatik. Sebab itu negara-negara maju sangat memahami nilai apa yang disebut sebagai ‘soft power’. Korea Selatan misalnya berjaya memperkenalkan dirinya kepada dunia melalui muzik, drama dan filem. Apabila orang ramai meminati budaya Korea, mereka turut meminati bahasa, makanan, produk dan pelancongannya. Hollywood, Bollywood, Hong Kong telah lama menjuarainya. Malaysia juga mempunyai potensi yang sama.
Persoalan: Adakah Seni dan Budaya Aset Strategik Negara?
Persoalannya, adakah kita benar-benar melihat seni dan budaya sebagai aset strategik negara atau sekadar hiburan murahan semata-mata? Kita memandang remeh seni dan budaya. Pihak yang menjaga perihal seni dan budaya terus membiarkan seni budaya itu bersifat hiburan kosong dan picisan. Itulah yang berlaku sebulan dua yang lalu ketika kementerian kita beria-ia menganjurkan persembahan ‘gaya luar’ di Bukit Bintang, sedangkan Singapura pula mengenengahkan dikir barat sebagai persembahan istimewanya. Apahal kita ni? Tak tahukah kita mencari identiti sendiri atau mengenal pasti siapa ikon seni kita? Sedangkan sejarah telah menunjukkan bahawa artis mampu menjadi aset nasional. Kita pernah ada Sudirman Haji Arshad yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Hari ini kita hidup dalam suasana yang sangat sensitif terhadap simbol negara. Ada yang marah apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik. Ada yang menganggap penggunaan lambang bendera pada pakaian sebagai tidak sopan atau kurang beradab. Namun beberapa dekad lalu, Sudirman telah menjadikan Jalur Gemilang sebagai sebahagian daripada identiti persembahannya. Beliau memakai busana yang diinspirasikan daripada bendera Malaysia bukan untuk menghina simbol negara, tetapi untuk meraikannya. Sudirman membangkitkan semangat patriotisme dalam lagu rakyat dengan persembahan yang membanggakan. Beliau bukan menteri. Beliau bukan diplomat. Tetapi apabila nama Malaysia disebut di banyak tempat pada zamannya, nama Sudirman turut disebut bersama. Dan ini menjadi kerana kebijaksanaan Sudirman menyulaminya dengan halus, bukan sengaja dibuat-buat dengan mengada-ngada. Tidak hairanlah bagaimana Sudirman telah dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia pada tahun 1986. Ketokohan beliau tidak boleh dipertikaikan dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia.
Peranan Artis dalam Diplomasi
Itulah sebabnya kita perlu melihat peranan artis dengan perspektif yang lebih luas. Ya, artis yang betul, bukan ‘retis’. Ada beza artis dengan retis. Ketika politik memisahkan, seni dan budaya mampu menyatukan. Ketika sentimen nasionalisme menjadi panas, lagu dan karya seni mengingatkan kita bahawa di seberang sempadan itu masih ada manusia yang menyanyi sama seperti kita. Mungkin itulah bentuk diplomasi yang paling tulen. Saya memetik nama Sudirman kerana beliau telah meletakkan tanda piawai seorang seniman rakyat yang mampu menjadi kebanggaan negara. Kita memang perlukan ikon seni sama ada seni budaya atau seni hiburan kerana mereka boleh merapatkan jurang perselisihan faham. Tak semestinya menjadi duta sehingga ke luar Malaysia, tetapi cukuplah menjadi ikon yang membuatkan seluruh rakyat Malaysia berbangga dan berhimpun di bawah nama yang sama. Itu yang kita perlu ada sekarang. Tapi iyelah, kita mahu artis yang tulen ketokohannya, seperti Sudirman, Siti Nurhaliza atau Amy Search yang dinobat dengan sendirinya kerana karisma mereka, bukan diangkat oleh kementerian kerana ‘kabel’ atau ‘lobi’. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



