PENAMPANG: Gelvia Vanessa Jenny, 24, dari daerah Papar telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di sini malam tadi.
Gelvia menerima trofi, wang tunai RM15,000 dan pelbagai hadiah yang disampaikan oleh Faridah Tussin, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah. Beliau memberitahu pemberita bahawa latihan telah dimulakan sejak Februari sebagai persediaan untuk pertandingan, dalam percubaan keduanya untuk dinobatkan sebagai ratu festival.
Anak ketiga daripada lapan beradik ini berkata doa keluarganya serta keinginannya untuk berinteraksi dengan orang ramai akhirnya membawa kepada kejayaannya. Bapanya bekerja sebagai penyadap getah manakala ibunya sebagai pengawal keselamatan.
“Saya rasa terharu dan sangat bersyukur. Terlalu banyak emosi yang tidak dapat saya gambarkan, tetapi di atas segalanya, saya bersyukur dan gembira,” katanya.
Pada kemuncak acara, Gelvia Vanessa mempamerkan pakaian tradisional Kadazan Papar yang dikenali sebagai 'sia do binokian'. Pertandingan Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik budaya yang mengetengahkan warisan dan tradisi pelbagai komuniti etnik Sabah sempena memperingati pengorbanan lagenda Huminodun untuk kesejahteraan rakyatnya.
Tempat kedua dimenangi oleh Juje Elor, mewakili daerah Tuaran, yang membawa pulang trofi, wang tunai RM12,000 dan hadiah tambahan, manakala Criszelbellkah Lorris, mewakili daerah Matunggong, mendapat tempat ketiga dan menerima trofi, wang tunai RM10,000 serta hadiah iringan.
Pesta Kaamatan ditutup oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman melalui upacara mengomot (menuai padi) dan pemukulan gong sebanyak tujuh kali.



