KUALA LUMPUR, 5 Jun — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen berhati-hati terhadap ketidaktentuan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat dan kenaikan harga minyak.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0280/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0095/0140 pada penutup semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebuntuan dalam rundingan AS-Iran boleh mengekalkan harga minyak yang tinggi dan mengakibatkan tekanan inflasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata pihak berkuasa di seluruh Asia juga telah mengesahkan semula komitmen mereka untuk menstabilkan mata wang masing-masing di tengah-tengah turun naik pasaran yang tinggi.
Beliau menambah bahawa pasangan dolar AS-yen Jepun telah melepasi paras psikologi 160 yen, mendorong kerajaan Jepun memberi isyarat kesediaan untuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing, manakala India sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan cukai keuntungan modal ke atas bon bagi menarik pelabur asing.
“Oleh itu, pasaran mata wang mungkin kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Ringgit juga didagang rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia susut berbanding pound British kepada 5.4233/4287 daripada 5.3872/3932, merosot berbanding euro kepada 4.6882/6928 daripada 4.6610/6663, dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.5183/5209 daripada 2.5081/5111 pada penutup semalam.
Mata wang tempatan didagang rendah berbanding mata wang serantau. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1390/1424 daripada 3.1241/1279, dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.3433/3605 daripada 12.2708/2903.
Ia juga lemah berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.56 daripada 6.50/6.52, dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 223.3/223.6 berbanding 222.1/222.4 pada penutup Khamis. — Bernama



