Kenaikan harga bahan binaan masih terkawal, kontraktor mampu serap kos
Kenaikan harga bahan binaan masih terkawal

KUCHING, 17 Jun — Kenaikan harga bahan binaan berikutan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan dunia masih berada pada tahap yang terkawal.

Menteri: Kontraktor masih mampu serap kos

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata buat masa ini kontraktor masih mampu menyerap kenaikan kos dan meneruskan projek tanpa sebarang kelewatan.

“Buat masa ini, keadaan masih pada tahap terkawal dan tidak memerlukan peruntukan tambahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Namun, kami akan terus memantau keadaan. Sekiranya berlaku kenaikan harga secara mendadak, kami mempunyai strategi untuk menanganinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Geoteknikal Serantau Malaysia di sini hari ini.

Kajian kesan krisis dibentang ke MTEN

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menjalankan kajian mengenai kesan krisis terhadap industri pembinaan dan membentangkan hasil kajian itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata kajian itu merangkumi strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani sebarang kesan ekonomi, terutamanya yang melibatkan rantaian bekalan dan kos bahan binaan.

“Kita perlu faham bahawa sektor pembinaan adalah salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara. Jika projek ditangguhkan, ekonomi boleh terjejas kerana peruntukan yang disediakan tidak dibelanjakan dalam sektor pembinaan.

“Atas sebab ini, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek sedia ada walaupun berlaku kenaikan harga, kerana ia masih pada tahap terkawal.” — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga