KUALA LUMPUR, 22 April — Bursa Malaysia menamatkan empat hari kenaikan berturut-turut untuk ditutup rendah sedikit hari ini, apabila aktiviti pengambilan untung mengikuti prestasi bercampur di pasaran serantau.
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.94 mata, atau 0.29 peratus, kepada 1,710.39 daripada penutup semalam pada 1,715.33.
Indeks penanda aras dibuka tinggi 2.67 mata pada 1,718.00, dan bergerak antara 1,705.11 dan 1,720.46 sepanjang hari.
Dalam pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 584 berbanding 565, manakala 596 kaunter tidak berubah, 1,014 tidak didagang dan 35 digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 3.45 bilion unit bernilai RM3.18 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata penarikan balik hari ini dilihat sebagai peluang untuk memburu saham patuh syariah secara terpilih pada tahap yang lebih menarik.
“Bagaimanapun, penyertaan pasaran dijangka kekal sederhana kerana pelabur kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata indeks penanda aras Bursa Malaysia berjaya kekal di atas paras psikologi utama 1,700, menunjukkan sokongan asas kekal utuh walaupun sentimen lebih lembut.
“Kekurangan kejelasan menyebabkan pasaran mengambil kira kebuntuan yang berpanjangan daripada penyelesaian yang stabil, mengekalkan premium risiko yang tinggi dan mendorong pendirian defensif dalam kalangan pelabur domestik,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berat, Maybank jatuh 14 sen kepada RM11.22, Public Bank susut empat sen kepada RM4.76, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM14.52, CIMB Group menurun enam sen kepada RM7.74, manakala IHH Healthcare menambah tujuh sen kepada RM8.81.
Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI turun 3.5 sen kepada 86 sen, AirAsia X susut 10 sen kepada RM1.30, NexG naik satu sen kepada 31.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, manakala Perdana Petroleum meningkat dua sen kepada 18.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung tertinggi, Nestle naik 72 sen kepada RM98.74, Petronas Dagangan meningkat 60 sen kepada RM20.60, Hong Leong Industries maju 22 sen kepada RM17.58, UWC melonjak 19 sen kepada RM4.97, manakala Batu Kawan menambah 18 sen kepada RM21.18.
Bagi kaunter rugi tertinggi, Malaysian Pacific Industries jatuh 96 sen kepada RM35.64, Hong Leong Bank turun 34 sen kepada RM22.62, Fraser & Neave Holdings menurun 28 sen kepada RM30.92, Hong Leong Financial Group susut 20 sen kepada RM19.14, dan Southern Cable merosot 12 sen kepada RM1.98.
Di papan indeks, FBM Top 100 Index menurun 29.72 mata kepada 12,453.59, FBM Emas Index jatuh 30.06 mata kepada 12,618.02, FBM Mid 70 Index menyusut 15.77 mata kepada 17,835.27, FBM Emas Shariah Index meningkat 9.06 mata kepada 12,481.19, dan FBM ACE Index naik 1.04 mata kepada 4,621.55.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menjunam 171.61 mata kepada 20,152.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.71 mata kepada 185.88, Indeks Tenaga meningkat 13.70 mata kepada 822.04, dan Indeks Perladangan melonjak 74.75 mata kepada 8,911.63.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.93 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 2.14 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 872.24 juta unit bernilai RM119.92 juta daripada 930.89 juta unit bernilai RM117.52 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 392.46 juta unit bernilai RM149.79 juta berbanding 375.27 juta unit bernilai RM163.50 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 311.60 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (342.63 juta), pembinaan (159.31 juta), teknologi (423.71 juta), perkhidmatan kewangan (54.77 juta), hartanah (130.48 juta), perladangan (58.38 juta), amanah pelaburan hartanah (14.30 juta), dana tertutup (13,800), tenaga (199.81 juta), penjagaan kesihatan (107.28 juta), telekomunikasi dan media (50.08 juta), pengangkutan dan logistik (47.89 juta), utiliti (34.11 juta), dan amanah perniagaan (144,500). — Bernama



