BATU PAHAT, 3 Julai — Dahulunya diejek penduduk sebagai 'Jalan Koyok' kerana keadaan bertampal-tampal, jalan di Yong Peng kini menjadi antara pencapaian utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon, dalam usahanya mempertahankan kerusi pada pilihan raya negeri Johor.
Peruntukan RM23 Juna Baiki Jalan
Ling, yang mesra disapa Ah Soon, berkata sebaik dipilih sebagai wakil rakyat pada 2022, beliau mengutamakan pembangunan asas yang tertangguh, terutamanya menaik taraf infrastruktur sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Saya gunakan peruntukan pembangunan yang agak besar untuk membaiki jalan, kira-kira RM23 juta dalam tempoh tiga tahun, meliputi dari Ayer Hitam hingga ke sempadan Segamat. Dalam masyarakat Cina, ada pepatah: ‘apabila jalan dibina dengan baik, ekonomi juga akan bergerak’,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Tarikan Pelabur Logistik
Ling, 42, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, berkata transformasi jalan itu telah mula meningkatkan keyakinan pelabur, dengan lebih banyak syarikat logistik dan kurier utama memilih Yong Peng, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru, sebagai pangkalan operasi mereka.
Beliau menambah bahawa sebuah platform e-dagang terkemuka juga merancang untuk membina pusat pengedaran terbesarnya di Yong Peng, yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.
“Yong Peng terletak di tengah-tengah Johor dan hanya kira-kira sejam dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Lokasi strategik ini menawarkan kelebihan besar untuk industri logistik dan pembuatan,” katanya.
Yong Peng Bakal Bandar Perindustrian Baharu
Beliau berkata Yong Peng berada di titik perubahan untuk menjadi sebuah bandar perindustrian baharu, dengan lebih ramai pelabur mula membeli tanah untuk pembangunan industri.
Mengenai manifesto baharunya yang akan dilancarkan pada Sabtu ini, Ling berkata ia akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama: memperkukuh infrastruktur, meningkatkan jaringan keselamatan sosial, dan merancakkan ekonomi melalui sektor pelancongan.
Beliau menambah bahawa kemudahan untuk warga emas, keluarga muda dan pasangan pengantin baharu juga akan ditambah baik untuk menggalakkan lebih ramai anak muda terus tinggal di Yong Peng.
Hubungan Erat dengan Penduduk
Mengulas keyakinannya mempertahankan kerusi Yong Peng, Ling berkata beliau menyerah kepada pengundi untuk menilai prestasinya selama lebih empat tahun berkhidmat.
“Saya telah membentangkan kad laporan kepada rakyat. Sama ada saya lulus atau cemerlang, biar pengundi yang memutuskan,” katanya.
Ling berkata beliau telah membina hubungan rapat dengan masyarakat setempat sejak 16 tahun lalu, bermula ketika mengendalikan urusan parlimen di Ayer Hitam di bawah Ahli Parlimen dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
“Sejak itu, saya sentiasa turun padang menemui rakyat. Hubungan yang dibina bukan hanya ketika pilihan raya,” katanya.
Ling, yang memenangi kerusi negeri Yong Peng buat kali pertama pada pilihan raya negeri Johor 2022, berkata kekuatannya terletak pada pendekatan akar umbi yang konsisten, sehingga digelar 'YB Kedai Kopi'.
“Hampir setiap hari saya singgah di kedai kopi, gerai atau restoran mamak untuk bertemu penduduk. Hubungan kami bukan lagi sekadar wakil rakyat dengan pengundi, tetapi lebih seperti sebuah keluarga,” katanya.
Pertandingan Dua Penjuru
Dalam pilihan raya negeri Johor akan datang, Ling akan mempertahankan kerusi Yong Peng dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Yong Hui Yi.
Untuk perkembangan terkini pilihan raya negeri Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
N19: Yong Peng: 34,023
1. Ling Tian Soon (BN-MCA)
2. Yong Hui Yi (PH-DAP)
(2022: Ling Tian Soon: BN-MCA: Majoriti: 2,741) — Bernama



