Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan syarikat telekomunikasi masih culas dalam menangani masalah liputan Internet di kawasan luar bandar walaupun mempunyai data yang mencukupi untuk mengenal pasti lokasi bermasalah. Beliau akan memanggil semua syarikat telco bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan penjelasan dan mempercepat tindakan penambahbaikan.
Telco Culas Manfaatkan Data
“Saya lihat ada satu sikap di pihak telco, mereka culas… kita ada data dan mereka juga ada data tetapi saya rasa data itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Rakyat mengharapkan 5G tetapi tahap kelajuan mereka menyelesaikan masalah pelanggan mungkin pada tahap 2G ataupun Edge,” katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah telekomunikasi di Kampung Parit Jepon, Bukit Naning hari ini.
Fahmi berkata beliau turut membawa Pengarah SKMM Johor Syed Isa Shekh Alsagoff untuk meninjau sendiri keadaan di kawasan itu selepas menerima aduan penduduk mengenai masalah liputan telekomunikasi. SKMM akan mengeluarkan notis kepada syarikat telekomunikasi supaya melaksanakan kerja pengoptimuman liputan dengan segera memandangkan terdapat sebuah menara telekomunikasi di Bukit Naning namun isyaratnya masih gagal meliputi Kampung Parit Jepon dan kawasan sekitar.
Perancangan Menara Baharu dan Cabaran Geografi
Selain pengoptimuman rangkaian sedia ada, Fahmi berkata perancangan pembinaan menara baharu juga akan dipertimbangkan bagi meningkatkan liputan di kawasan Batu 14, Batu 15 dan Batu 16. Beliau berkata faktor bentuk muka bumi serta ladang kelapa sawit dan nanas yang luas turut memberi kesan terhadap kekuatan isyarat di kawasan berkenaan.
Mengulas isu sama di kawasan lain yang sedang pesat membangun, Fahmi berkata perkara itu akan dibangkitkan semasa pertemuan dengan pihak telco kerana masih terdapat lokasi yang tidak dimasukkan dalam perancangan naik taraf rangkaian di bawah program berkaitan.
Arahan Perdana Menteri Turun Padang
“Saya datang sendiri susulan arahan perdana menteri supaya menteri-menteri turun padang melihat keadaan sebenar. Kalau boleh, CEO syarikat telco juga patut bersama dengan saya supaya mereka sendiri merasai kesukaran yang dihadapi penduduk apabila talian komunikasi sering terganggu,” katanya.



