Malaysia Airlines (MAB) dan Singapore Airlines (SIA) hari ini melancarkan produk tambang bersama untuk perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur, susulan perkongsian usaha sama strategik yang dimeterai pada Januari 2026.
Lanjutan perkongsian kod
Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata tawaran itu membina perkongsian kod sedia ada kedua-dua syarikat penerbangan, membolehkan MAB dan SIA menyediakan pelbagai pilihan tambang yang lebih luas kepada pelanggan antara dua ibu kota berkenaan.
Ia juga akan meningkatkan ketersambungan merentasi rangkaian gabungan kedua-dua pengangkut.
Faedah tambahan untuk pelanggan
“MAB dan SIA juga sedang berusaha ke arah pengenalan secara progresif faedah pelanggan tambahan, termasuk akses ruang istirahat bersama, jadual penerbangan yang diselaraskan dan pengaturan perjalanan korporat bersama.
“Inisiatif ini mencerminkan kerjasama komersial yang semakin mendalam dan komitmen bersama untuk meningkatkan ketersambungan antara Malaysia, Singapura dan rantau yang lebih luas,” katanya.
Kenyataan CEO MAB
Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan penerbangan Malaysia Aviation Group (yang memiliki MAB), Bryan Foong, berkata perkongsian usaha sama ini menandakan satu pencapaian penting dalam pengembangan kerjasama komersial mereka.
“Dengan memperkenalkan produk tambang bersama, kami memberikan pelanggan kami lebih banyak pilihan, fleksibiliti yang lebih baik dan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
“Kerjasama ini juga meletakkan asas untuk integrasi yang lebih mendalam merentasi rangkaian kami, akhirnya memberi manfaat kepada pengembara riadah dan perniagaan,” katanya.
Kenyataan SIA
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial SIA, Lee Lik Hsin, berkata syarikat penerbangan itu akan terus menggabungkan kekuatan untuk meningkatkan tawaran kedua-dua syarikat penerbangan dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan, sambil mengukuhkan hubungan rakyat-ke-rakyat dan hubungan perdagangan yang telah lama terjalin antara Singapura dan Malaysia.
“Pengenalan produk tambang bersama dengan Malaysia Airlines memperluaskan rangkaian pilihan tambang yang tersedia kepada pelanggan yang melancong antara Singapura dan Kuala Lumpur, menawarkan lebih banyak fleksibiliti dan kemudahan semasa merancang perjalanan mereka,” tambahnya. — Bernama



