KUALA LUMPUR, 30 Mei — Pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei dijangka menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada Isnin selepas mengalami kecederaan lutut kiri pada suku akhir Terbuka Singapura semalam.
Perkembangan terkini itu disahkan oleh pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky, yang menyatakan bahawa tahap kecederaan Ee Wei masih belum jelas.
“Berdasarkan laporan (perubatan), dia (ahli fisioterapi) tidak dapat memberitahu keadaan sehingga doktor melakukan MRI pada Isnin,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie tidak dapat menamatkan pertarungan suku akhir Terbuka Singapura selepas pemain wanita itu mengalami kecederaan ketika perlawanan.
Juara dunia itu mendahului 18-16 menentang pasangan India yang berada di ranking ke-28 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, sebelum menarik diri selepas 24 minit perlawanan. — Bernama



