Seorang ahli keluarga memaklumkan bahawa Proton X50 yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan enam sekeluarga petang tadi baru sahaja dibeli dan dihantar pada hari yang sama.
Ibrahim Ghazali, 39, berkata kenderaan tersebut milik abang iparnya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, tetapi dipandu oleh abang kepada Fahim iaitu Ahmad Shafiq, 27, ketika kejadian.
Perjalanan ke kubur bapa mertua
Menurut Ibrahim, dua beradik itu bersama empat yang lain dalam perjalanan ke Merbok, berhampiran sini, untuk menziarahi kubur bapa mertuanya.
"Mereka singgah di rumah saya di Bertam Putra, Pulau Pinang, untuk mengambil anak saya, Iskandar Arfan," katanya ketika ditemui di sini.
Iskandar Arfan, 7, yang teruja menaiki kenderaan baru itu cepat menghabiskan makanannya untuk masuk ke dalam kereta.
Ahmad Fahim, Ahmad Shafiq dan Iskandar Arfan maut selepas kereta itu bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 3.45 petang.
Mangsa lain termasuk bayi
Kemalangan itu juga meragut nyawa ibu mertua Ibrahim, Nora Mhd Husin, 55, seorang saudara, Jamaliah Sannusi, 27, dan seorang bayi berusia enam bulan.
Seorang lagi ahli keluarga, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, mengalami kecederaan parah.
Rakaman kamera papan pemuka yang tersebar luas di media sosial menunjukkan Proton X50 memasuki lorong bertentangan ketika melalui jalan lurus sebelum merempuh lori yang membawa muatan tanah.



